KUALA LUMPUR: Jumlah bantuan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) wajar diselaras mengikut kos sara hidup yang berbeza antara daerah bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar mencukupi kepada golongan memerlukan.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata pendekatan bersasar berasaskan kos sara hidup boleh dilaksanakan memandangkan kerajaan kini memiliki data yang lebih komprehensif berkaitan pendapatan dan perbelanjaan rakyat.
“Ketika ini, penentuan kelayakan bantuan banyak bergantung kepada pendapatan kasar isi rumah, sedangkan perbelanjaan sebenar rakyat, khususnya di kawasan bandar, adalah jauh lebih tinggi dan perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi pelaksanaan SARA dan STR pada tahun 2026 yang dijangka memanfaatkan kira-kira sembilan juta penerima di seluruh negara.
Menurut Dr Aimi Zulhazmi, laporan Indikator Kos Sara Hidup yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan perbezaan ketara kos sara hidup antara bandar dan luar bandar, sekali gus menuntut pendekatan bantuan yang lebih anjal dan realistik.
“Penyesuaian bantuan mengikut lokasi dapat memastikan golongan miskin bandar tidak terus terpinggir walaupun menerima bantuan yang sama nilainya dengan mereka yang tinggal di kawasan kos rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Dr Chin Chee Seong berkata program SARA dan STR turut memberi kesan positif kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya melalui peningkatan kuasa beli pengguna.
“Apabila rakyat menerima bantuan dan berbelanja di kedai runcit serta perniagaan kecil, kesan limpahan ekonomi itu turut menyokong pertumbuhan KDNK,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kos operasi yang bakal ditanggung pengusaha, termasuk cadangan kenaikan gaji minimum.
“Kami berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak insentif dan pembiayaan mudah lulus kepada PMKS bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan peningkatan kos,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM15 bilion bagi SARA dan STR 2026, yang merupakan peruntukan tertinggi setakat ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.