Tuesday, 20, January, 2026
Utama NasionalPM lancar pelan Pendidikan Nasional 2026–2035, perkukuh sistem sekolah hingga IPT

PM lancar pelan Pendidikan Nasional 2026–2035, perkukuh sistem sekolah hingga IPT

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 pada 20 Januari ini sebagai pelan strategik nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan bersama memaklumkan, RPN itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


“Pelancaran RPN 2026–2035 mencerminkan iltizam kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan negara yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global,” menurut kenyataan itu.


Menurut KPT, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 akan menjadi dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang, menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).


“RPTM 2026–2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 pakar tempatan serta 8,226 pihak berkepentingan merangkumi sarjana, tokoh akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, industri serta wakil masyarakat,” menurut kenyataan itu.


Kenyataan sama menjelaskan, pelan berkenaan bersifat dinamik dan fleksibel bagi membolehkan penyesuaian terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.


“Fokus utama RPTM 2026–2035 turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.


Selain itu, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan dijadikan pemboleh daya dalam kurikulum serta penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan.


“Usaha memperluas keterangkuman akses pendidikan tinggi dan pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau turut menjadi antara tumpuan utama pelan ini,” menurut kenyataan tersebut.


Sementara itu, KPM memaklumkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan sekolah, selaras dengan Visi KPM iaitu Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.


“RPM 2026–2035 digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi dengan penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, pemantapan prasarana serta pengukuhan tadbir urus dan sistem penyampaian,” katanya.


Menurut kenyataan bersama itu, pelaksanaan RPTM dan RPM secara bersepadu di bawah RPN 2026–2035 akan memastikan kesinambungan pembangunan modal insan secara menyeluruh dan berfasa, bermula dari peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Artikel Berkaitan