Tuesday, 20, January, 2026
Utama NasionalGPMS Kedah sokong titah Agong perkasa bahasa Melayu, Sejarah Malaysia dalam pendidikan

GPMS Kedah sokong titah Agong perkasa bahasa Melayu, Sejarah Malaysia dalam pendidikan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menegaskan keperluan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia diterima serta dimartabatkan sebagai teras dalam semua sistem pendidikan di negara ini.

Timbalan Pengerusi GPMS Kedah, Kapt Bersekutu (PA) Amirul Syahir Musa berkata, titah tersebut selari dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152 yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain mengangkat kepentingan Sejarah Malaysia dalam pembinaan jati diri dan semangat patriotisme generasi muda.

Menurutnya, penerimaan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia dalam semua aliran pendidikan bukan bertujuan menafikan kepelbagaian kaum dan budaya, sebaliknya menjadi asas penting kepada penyatuan nasional dalam sebuah negara majmuk.

“Pendidikan tidak seharusnya bersifat terpisah atau mewujudkan jurang kefahaman antara kaum. Sebaliknya, ia perlu menjadi medium penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Beliau turut menegaskan bahawa pendedahan kepada sejarah negara yang benar dan menyeluruh amat penting bagi memastikan generasi muda memahami perjuangan kemerdekaan, kontrak sosial serta asas kenegaraan yang telah dipersetujui sejak sekian lama.

Tambah beliau, kefahaman tersebut mampu melahirkan rakyat yang lebih bertanggungjawab, beridentiti nasional dan menghormati asas pembentukan negara bangsa.

Sehubungan itu, GPMS Kedah menyeru semua pihak termasuk pembuat dasar, institusi pendidikan serta masyarakat umum agar menyahut titah Yang di-Pertuan Agong dengan penuh rasa tanggungjawab demi memastikan kelangsungan perpaduan, kedaulatan bahasa dan pembinaan negara bangsa yang kukuh.

Artikel Berkaitan