Wednesday, 21, January, 2026
Utama NasionalSolat asas pembinaan keadilan, keharmonian sejagat

Solat asas pembinaan keadilan, keharmonian sejagat

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan solat lima waktu bukan sekadar ibadah rutin, sebaliknya menjadi asas penting dalam pembinaan keadilan dan keharmonian sejagat.


Beliau berkata, antara peristiwa agung dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ialah penerimaan langsung perintah solat lima waktu sebagai ibadah teras dalam kehidupan seorang Muslim.


“Solat bukan sekadar ibadah rutin, sebaliknya mempunyai dimensi yang luas dengan kesan mendalam bukan sahaja kepada pembentukan diri individu, malah turut melibatkan keluarga, masyarakat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Mengulas lanjut, Anwar berkata tokoh ulama Islam Nusantara, Syeikh Daud Al-Fatani dalam karya klasik Munyatul Musolli bukan hanya membahaskan tatacara solat, malah mengaitkannya dengan aspek siyasah serta tatakelola yang baik.


“Dalam bab Tatmim al-Fa’idah, Syeikh Daud menyentuh mengenai ibadah solat, namun lebih jauh daripada itu mengaitkannya dengan prinsip keadilan,” katanya.


Menurut beliau, keadilan perlu difahami sebagai keseimbangan yang berjalan seiring dengan fenomena convivencia global, iaitu keadaan masyarakat sejagat hidup bersama secara damai.


“Keadilan adalah tentang keseimbangan dan wujud secara beriringan dengan kehidupan masyarakat dunia yang hidup bersama dalam budaya damai,” katanya.


Perdana Menteri berkata usaha mencapai keadilan merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira latar belakang agama, demi merealisasikan matlamat kemanusiaan sejagat.


Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus memelihara kehidupan secara rukun dan harmoni, selain menolak prasangka, stereotaip palsu serta naratif permusuhan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.


“Pada masa yang sama, kita mesti kekal tawaduk dan rendah hati kerana kita mungkin tidak mempunyai jawapan yang tepat. Bahkan jika kita memperoleh jawapan sekali pun, kita tidak boleh terlalu gopoh menganggapnya sebagai penyelesaian yang tuntas,” katanya.

Artikel Berkaitan