Friday, 23, January, 2026
Utama Nasional10 politeknik dinaik taraf, pendidikan percuma diperluas

10 politeknik dinaik taraf, pendidikan percuma diperluas

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan merancang menaik taraf 10 politeknik secara berterusan selain memperluas akses pendidikan percuma sebagai sebahagian reformasi sektor pendidikan tinggi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini dalam proses merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti bagi memperkukuh tadbir urus serta memodenkan sistem pendidikan negara selari keperluan era digital dan kecerdasan buatan (AI).


“Kementerian sedang merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti dan 10 politeknik akan dinaik taraf secara berterusan sepanjang tempoh perancangan pendidikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, di sini.


Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.


Dalam ucapannya, Anwar mengulangi komitmen kerajaan terhadap penyediaan pendidikan percuma yang telah direncanakan sejak awal, merangkumi pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk pemberian elaun khas kepada pelajar.


“Kita telah sasarkan dari awal keperluan merencana pendidikan percuma. Sekarang daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Enam adalah percuma termasuk elaun khas untuk pelajar,” katanya.


Beliau berkata kerajaan turut mengambil langkah menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar, termasuk peruntukan pembelian buku bagi menyokong usaha meningkatkan minat membaca yang dilihat semakin merosot di peringkat global.


“Budaya membaca atau budaya iqra’ semakin luntur dan ini bukan hanya di Malaysia. Kita mesti latih anak-anak membaca buku teks, buku pilihan atau novel,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan ketara agenda pendidikan percuma melibatkan pelajar pendidikan tinggi.


Menurut beliau, jumlah pelajar daripada kategori miskin yang menerima pendidikan percuma melalui bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditingkatkan daripada 5,800 kepada 10,000 orang.


Selain itu, kira-kira 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti akan menerima pendidikan percuma yang berkuat kuasa serta-merta.


RPN 2026-2035 merupakan pelan pendidikan menyeluruh yang melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan pelaksanaannya disepadukan bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Artikel Berkaitan