Thursday, 29, January, 2026
Utama EkonomiPertumbuhan ekonomi kukuh, kebajikan golongan rentan tidak boleh terpinggir

Pertumbuhan ekonomi kukuh, kebajikan golongan rentan tidak boleh terpinggir

oleh Ammar Haziq

SEMENYIH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pencapaian ekonomi negara yang memberangsangkan ketika ini tidak seharusnya menyebabkan nasib golongan terpinggir diabaikan, khususnya mereka yang masih bergelut dengan kemiskinan.


Beliau berkata, walaupun Malaysia mencatat pelbagai petunjuk ekonomi positif termasuk pengukuhan nilai ringgit serta peningkatan pelaburan dan perdagangan yang mencecah lebih RM1 trilion pada 2025, masih terdapat kelompok masyarakat yang belum menikmati hasil pembangunan.


“Kita melihat banyak perancangan yang kelihatan gagah dan hebat, namun dalam keadaan ramai hidup senang, masih ada kelompok yang tersisih, miskin dan sukar untuk hidup dengan baik,” katanya.


Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, di sini, hari ini.


Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi yang tidak bersifat inklusif hanya akan melebarkan jurang sosial dan berpotensi menjejaskan kestabilan negara dalam jangka panjang.


“Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat, untuk bersama-sama membawa perubahan,” katanya.


Perdana Menteri menegaskan agenda pembangunan ekonomi negara mesti berjalan seiring dengan usaha membela kebajikan rakyat, khususnya golongan miskin tegar dan rentan.


“Angka ekonomi sememangnya memukau, tetapi kita tidak boleh bersikap selesa. Kita perlu bantu rakyat dan jangan tunggu mereka datang meminta,” katanya.


Beliau turut menggesa agensi berkaitan agar proaktif mencari penyelesaian terbaik supaya rakyat merasakan mereka turut menjadi sebahagian daripada kemakmuran negara.


“Apabila rakyat merasai manfaat pembangunan, barulah mereka boleh hidup dengan lebih selesa dan bermaruah dalam negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan