Thursday, 29, January, 2026
Utama NasionalPM beri tempoh seminggu, penjawat awam gagal pikul amanah diminta berundur

PM beri tempoh seminggu, penjawat awam gagal pikul amanah diminta berundur

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesabarannya semakin teruji apabila masih terdapat penjawat awam yang didakwa tidak melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, meskipun telah diberikan kepercayaan dan kedudukan penting.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh seminggu kepada mana-mana pegawai yang merasakan diri tidak lagi mampu memikul tugas diamanahkan supaya tampil menyatakan ketidakupayaan mereka secara terbuka kepada pihak atasan.

“Saya menyatakan perkara ini kerana sudah sampai ke tahap hilang kesabaran. Masih ada kelemahan dan ruang yang wajib diperbaiki dalam pelaksanaan amanah,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan Berkaitan Jenayah Kewangan anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), di sini, hari ini.

Menurut Anwar, pegawai yang berdepan cabaran terlalu besar atau ujian berat sehingga menjejaskan keupayaan melaksanakan tugas wajar memberi laluan kepada individu lain yang lebih bersedia.


“Jika sudah diamanahkan tetapi merasakan tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, maklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua jabatan, kepada saya, menteri, Peguam Negara atau mana-mana pihak berkaitan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan beliau menghormati mana-mana pegawai yang memilih untuk memohon jawatan dengan skop tanggungjawab lebih rendah, namun menekankan bahawa komitmen penuh adalah syarat utama bagi mereka yang terus memegang jawatan sedia ada.


Pada masa sama, Perdana Menteri melahirkan kebimbangan terhadap sikap sambil lewa segelintir pihak sehingga membolehkan pelanggaran undang-undang berlaku secara terbuka, termasuk dalam isu keselamatan sempadan negara.


“Bagaimana negara ini boleh membenarkan penyelewengan berlaku secara terang-terangan? Apakah kita tidak nampak betapa mudahnya sempadan dibolosi?” soalnya.


Beliau turut mempersoalkan sama ada nilai kebenaran, hikmah, ihsan dan keadilan dalam kalangan penjawat awam semakin terhakis akibat kegagalan bertindak tegas.


Anwar menegaskan, kelemahan penguatkuasaan hanya akan membuka ruang kepada kesalahan berulang dan seterusnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.


“Jika kita tidak mahu perkara ini berterusan, kita mesti bekerja sebagai satu pasukan dan bertindak dengan serius. Jangan bersikap sambil lewa atau terlalu mudah memaafkan kesalahan,” katanya.


Beliau turut mengingatkan pegawai kanan yang memegang jawatan tinggi serta menerima pelbagai pengiktirafan agar menjadikan kedudukan itu sebagai dorongan untuk bertindak lebih berani dan bijaksana.


“Kedudukan dan pengiktirafan yang diterima sepatutnya mendorong kita melakukan perkara yang betul dan berintegriti,” katanya.


Anwar menegaskan masa untuk bertindak adalah sekarang dan menyeru semua pihak berkaitan supaya segera mengambil langkah tegas demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan penguatkuasaan negara.

Artikel Berkaitan