KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China tatkala persaingan strategik kedua-dua kuasa besar ekonomi itu semakin meningkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan baik antara ASEAN dengan kedua-dua negara itu penting semasa perkumpulan serantau itu menyatakan komitmen untuk memperkukuh pemusatan.
“Dan kami telah menegaskan bahawa mereka tidak boleh mendesak kami memihak dalam perbezaan antara kedua-dua negara itu,” kata beliau semasa diwawancara ketua peneraju antarabangsa CNN, Christiane Amanpour yang disiarkan di stesen penyiaran itu dari New York awal Sabtu.
Anwar berkata China adalah jiran dan negara dagangan penting kepada Malaysia, manakala AS sejak awal lagi bertanggungjawab melaksanakan pelaburan dan membantu membangunkan negara, sambil menambah bahawa Malaysia mempunyai kerjasama pertahanan terbesar dengan AS.
Beliau berkata AS telah menjadi rakan Malaysia sejak sekian lama dan ia harus lebih proaktif dalam mengekalkan hubungan diplomatik dan budaya serta ekonomi.
Mengulas mengenai Peta Standard China 2023 yang diumumkan pada malam Sidang Kemuncak G20 2023 di India, Anwar berkata beliau amat gembira dengan maklum balas yang diberikan oleh China bahawa kuasa besar itu tidak akan sesekali melakukan apa-apa tindakan yang boleh menyebabkan pertelingkahan dengan rakan di rantau ini.
Perdana Menteri berkata beliau mempunyai hubungan yang baik dengan rakan sejawatannya dari China Li Qiang serta Menteri Luar Wang Yi, dan Malaysia bersedia untuk mengadakan rundingan berhubung isu yang menimbulkan perbalahan susulan dakwaan China.
“Ia sangat menyakinkan. Dan saya bertemu beliau (Li Qiang) tiga hari lepas di Nanning. Beliau mengulangi perkara itu dan sekurang-kurangnya bagi Malaysia, saya amat berpuas hati,” katanya.
Media antarabangsa melaporkan Peta Standard China 2023 turut melibatkan kawasan yang menjadi pertikaian termasuk tuntutan terhadap Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan. Ia juga termasuk kawasan maritim dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Mengenai dakwaan China bahawa Taiwan akan menjadi sebahagian daripada wilayahnya, Anwar berkata Malaysia sentiasa konsisten dengan dasar Satu China.
“Sebagai kedudukan dasar luar, pendirian kami ialah dasar Satu China, kami terima. Tetapi sudah tentu, kami bimbang dengan sebarang pergolakan di kawasan itu, yang akan memberi kesan buruk kepada rantau ini,” tambahnya.