Saturday, 27, April, 2024
Utama Nasional Anwar sampaikan khutbah Jumaat di ICCNY New York

Anwar sampaikan khutbah Jumaat di ICCNY New York

oleh Ammar Haziq

NEW YORK: Buat pertama kali dalam sejarah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyampaikan khutbah Jumaat di Islamic Cultural Centre of New York (ICCNY), di sini.

Dalam khutbahnya yang disampaikan di hadapan lebih 800 jemaah, Anwar berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Kami sentiasa cuba menggalakkan persefahaman, toleransi dan keperluan untuk memahami budaya dan agama orang lain. Ia penting bagi kami untuk hidup rukun damai dan harmoni,” katanya.

Anwar yang berada di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, adalah pemimpin asing pertama diberi penghormatan menyampaikan khutbah di pusat itu, yang merupakan masjid pertama dibuka di bandar raya New York.

Pada masa yang sama, perdana menteri berkata umat Islam perlu mengukuhkan perpaduan sesama mereka, serta memperoleh maklumat dan pengetahuan.

Anwar turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan konsep “Malaysia MADANI” yang diperkenalkannya di Malaysia serta ancaman Islamofobia di seluruh dunia.

“Apabila kejadian membakar Al-Quran berlaku, Malaysia mencetak satu juta naskhah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia. Malah kami hantar 15,000 naskhah ke Sweden supaya mereka dapat melihat dan memahami, dan bukan bergaduh kerana jahil,” katanya.

Imam pusat itu, Saad Jalloh berkata, semalam merupakan detik bersejarah bagi pusat itu, menerima kehadiran Anwar dan rombongannya, kerana menurutnya Anwar merupakan pemimpin pertama melawat masjid berkenaan.

Anwar juga diberi peluang untuk memimpin “shahadah” seorang lelaki yang dikenali sebagai Andrew Vinals, yang memeluk Islam selepas solat Jumaat.

Perdana Menteri ketika itu baru saja hendak keluar dari dewan solat apabila diumumkan ada seorang lelaki yang berhasrat memeluk agama Islam, dan mereka menyeru perdana menteri untuk menyempurnakan pengislaman lelaki itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com