Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Pentas PBB: Ucapan PM berani, tegas, berpijak pada realiti semasa

Pentas PBB: Ucapan PM berani, tegas, berpijak pada realiti semasa

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR : Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNGA ke-78 sebagai berani, tegas dan berpijak pada realiti semasa.

Ujar beliau, kenyataan Perdana Menteri terutama dalam menyelar kekejaman Israel dan isu di Afghanistan secara terbuka membuktikan bahawa beliau membawa pendirian untuk berkata benar dan terbuka.

“PM menyelar kekejaman Israel secara cukup tegas dan terbuka. ‘Abusive regime’.

“Sementara bersimpati dengan situasi di Afghanistan; ketidakadilan terhadap wanita dan gadis diselar. Menerima Myanmar sebagai rakan, tidak sama sekali menidakkan keperluan ‘barbarisme’ dihentikan. ‘Kemunafikan’ disebut dengan jelas tentang kuasa besar dunia yang ada sekarang.

“Anwar ada ruang mudah untuk menjadi popular di New York. Membisu dalam kekejaman Israel, letepikan kekejaman Myanmar, memuji ketidakadilan. Namun, Anwar memilih untuk ‘berkata benar dan terbuka’.

“Kebenaran dan keterbukaan inilah yang barangkali kurang disenangi mereka di koridor kuasa PBB,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau percaya pendirian yang ditunjukkan itu adalah jalan yang paling wajar dengan membuktikan tiada hipokrasi dan yakin bahawa ucapan Anwar itu telah meletakkan beliau dalam senarai pemimpin tegas dalam kalangan pemain politik arena antarabangsa.

“Realiti geopolitik dan geostrategik ketika ini memerlukan pemimpin yang berani dan tegas. Yang berterus terang.

“Bukan mereka yang ‘spineless’. Saya melihat ucapan Anwar di UNGA sebagai kenyataan negara yang cukup tegas.

“Viral dan tular tentang ketidakhadiran perwakilan itu satu sisi yang biasa. Satu sisi yang lain, ucapan itu memanaskan telinga banyak pihak yang mendengarnya dari bilik pejabat, hotel dan koridor kuasa di United Nations Plaza dan sekitar Lexington Avenue.

“Mesej Anwar jelas dan sampai. Anwar nyata telah mulakan rentak dengan betul,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com