Thursday, 16, May, 2024
Utama Ekonomi Setuju mansuh pencen Ahli Parlimen, juga pencen penjawat awam – Khairy

Setuju mansuh pencen Ahli Parlimen, juga pencen penjawat awam – Khairy

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bersetuju dengan cadangan membatalkan pencen Ahli Parlimen.

Bahkan, beliau juga mencadangkan pencen penjawat awam turut dihapuskan bagi membantu mengimbangi fiskal negara.

Menurutnya, beliau sedia sekiranya pencen beliau ditukar kepada skim persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seperti dicadangkan pakar ekonomi baru-baru ini.

“Saya rasa pencen ini, zamannya sudah berlalu. Masa saya dalam Jemaah Menteri, saya kata ada tiga perkara yang boleh kita buat untuk menjaga fiskal negara.

“Pertama, kenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Kedua, rasionalisasi subsidi. Yang kedua ini, kerajaan kata nak buat walaupun kita tidak tahu apa mekanismenya.

“GST masih lagi tunggu dan lihat. Ketiga, adalah untuk hentikan pencen. Tapi ini untuk penjawat awam yang ada dalam perkhidmatan, skim pencen diteruskan.

“Tetapi semua penjawat awam yang baru, selepas tarikh ditetapkan, sebagai contoh 1 Januari 2024, semuanya dimasukkan ke dalam KWSP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap bersama Tiber pada Selasa.

Tegasnya, pemansuhan itu harus dilakukan secepat mungkin kerana selagi ia ditangguhkan, selagi itu ia memberi kesan kepada kewangan negara.

Menurutnya, kerajaan mungkin menanggung sehingga RM50 bilion untuk pencen penjawat awam dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya ia tidak dihapuskan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com