Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional BERNAS sokong usaha kerajaan pastikan bekalan beras mencukupi

BERNAS sokong usaha kerajaan pastikan bekalan beras mencukupi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Berikutan kegusaran orang ramai berhubung kekurangan beras putih di pasaran, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memberi jaminan bahawa bekalan beras putih adalah mencukupi.

Menurut BERNAS, dalam menguruskan bekalan beras import ke dalam negara, pihaknya menyalurkan sebanyak 630,000/TM dari Januari hingga Ogos 2023 iaitu peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding dengan purata jualan bulanan bagi tempoh 5 tahun yang lepas.

“Ini bermakna, bekalan beras putih adalah lebih dari mencukupi tanpa kerajaan perlu menggunakan bekalan stok penimbal,” kata BERNAS dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata BERNAS, permintaan ke atas beras putih tempatan semakin meningkat disebabkan perbezaan harga beras putih tempatan dan import.

Peningkatan ini disebabkan peralihan permintaan daripada beras putih import kepada beras putih tempatan oleh pengguna, pembekal kontrak dan pemain-pemain industri makanan.

Tambah BERNAS, melalui peranannya sebagai ‘Buyer of Last Resort’ atau pembeli padi yang terakhir, purata pegangan pasaran padi tempatan BERNAS hanya sekitar 10 peratus, manakala selebihnya dibeli dan diproses oleh kilang-kilang swasta.

Namun, BERNAS sentiasa komited dan menyokong semua program intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menjamin bekalan beras tempatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com