Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak dapat menunaikan janji menurunkan harga minyak seperti yang pernah diungkapkan 15 tahun lalu kerana harga bahan api itu lebih tinggi pada masa ini.
Katanya, ketika janji itu diungkapkan harga minyak Arab Saudi, negara pengeluar minyak terbesar dunia hanya 50 sen seliter berbanding Malaysia RM1.60 hingga RM1.80 seliter.
“Saya sedar ramai yang menggunakan petikan ucapan saya berkenaan janji menurunkan harga minyak yang diungkapkan 15 tahun lalu, dan menuntut janji itu sekarang.
“Mengapa harga minyak ketika ini masih belum turun? Ini jawapan saya.
“Bila saya kata itu (janji turun harga minyak) 2008 pada masa itu, harga minyak Arab Saudi hanya 50 sen seliter berbanding kita harganya RM1.80 sen…RM1.60 sen seliter.
“Pasal apa Arab Saudi boleh (tetapkan) 50 sen dan kita tinggi sangat, (jadi) kita pun kena turun la.
“Mengapa sekarang pada 2023 (tidak boleh) kerana sekarang harga minyak Arab Saudi lebih tinggi dari Malaysia.
“Kita nak turunkan macam mana lagi, kita sudah ada beri subsidi, subsidi tinggi dah… (antara) RM30 hingga 40 bilion subsidi,” katanya dalam satu hantar di media sosialnya.
Ucapan popular Anwar itu antara lain berbunyi ‘kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok’ dibuat Anwar di pentas kempen pilihan raya pada 2008.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menjelaskan Arab Saudi dijadikan ukuran perbandingan kerana negara itu adalah pengeluar minyak yang mengeluarkan bahan api berlipat kali ganda dari Malaysia.
Awal bulan ini, di Dewan Rakyat Anwar menjelaskan harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.
Perdana Menteri berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.
“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter),” katanya.