Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Anwar nafi dakwaan rombakan Kabinet hari ini

Anwar nafi dakwaan rombakan Kabinet hari ini

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan akan berlaku hari ini

Menurut beliau, mesyuarat Jemaah Menteri itu akan memberi tumpuan penuh terhadap laporan dan perbincangan.

“Tiada apa esok. Belum (ada keputusan).

“Tadi saya menghadap Seri Paduka (Yang di-Pertuan Agong) untuk bincang Kabinet esok, tiada kaitan lagi dengan perubahan Jemaah Menteri.

“Selepas (mesyuarat) Kabinet, saya ke Sabah (selepas itu) saya ke Abu Dhabi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup Khazanah Megatrends Forum di sini pada Selasa.

Terdahulu sebuah portal melaporkan, Perdana Menteri dijangka mengumumkan rombakan Kabinet esok selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, Anwar akan membuat pengumuman terbabit esok kerana beliau akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khamis ini, untuk lawatan rasmi.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, beliau sudah meminta laporan mengenai status lima hingga enam syarikat terpilih untuk melihat tempoh masa yang diambil bagi mendapatkan kelulusan muktamad.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok supaya dapat memudahkan sesebuah syarikat itu menjalankan perniagaan di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan proses yang diperlukan terutamanya seperti proses penilaian impak alam sekitar (EIA).

Pada masa sama, beliau mengulangi jaminan akan membawa berita gembira dari Abu Dhabi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com