Tuesday, 26, November, 2024
Utama Nasional Belanjawan 2024: “Taklif wa la tashrif… tanggungjawab bukan keistimewaan” – PM

Belanjawan 2024: “Taklif wa la tashrif… tanggungjawab bukan keistimewaan” – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Dalam ucapan penutup pembentangan Belanjawan 2024, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan kepada dirinya sendiri dan anggota kerajaan, bahawa tanggungjawab bukan keistimewaan.

Perdana Menteri berkata, negara harus dikembalikan ke landasannya demi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat diberhasilkan.

Beliau turut berkongsi kisah menarik antara Khalifah Umar Abdul Aziz dan anakandanya Abdul Malik.

Kisah itu memberikan gambaran pentingnya kaedah berhemah dan berhati-hati dalam melakukan perubahan.

“Seraya nasihat Umar tatkala Abdul Malik menggesa ayahnya bertindak dengan lebih tegas dan pantas segera dengan teguran, – Ayahanda, mengapa tidak dilaksanakan (perubahan yang lebih pantas).

“Demi Allah, aku sedia seandainya kita berdua terkorban demi menegakkan kebenaran!”
“Dan Khalifah Umar Abdul Aziz menjawab – Anakanda, jangan kamu bersikap gopoh. Allah menyelar arak dua kali di dalam Al Quran dan mengharamkannya hanya pada ketiga kalinya.

“Aku bimbang, seandainya aku paksakan semua kebenaran ke atas manusia (sekali gus), mereka akan menolak keseluruhannya, (dan) ini bermakna akulah akan menjadi penyebab kerosakan lebih besar,” kata Anwar, menceritakan kisah tersebut.

Tambah Perdana Menteri, belanjawan itu merupakan suatu pernyataan iltizam kerajaan bagi memulihkan ekonomi dalam marcapada yang serba mencabar.

“Kerajaan terbuka mendengar pandangan dan kritikan dari segenap pihak, namun tidak bermakna sewenangnya bebas melemparkan fitnah.

“Ditambah dengan cabaran ekonomi global dan geopolitik yang menggusarkan, sikap ini sedikit sebanyak menghambat kemajuan bangsa kita,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com