Sunday, 24, November, 2024
Utama Sukan Final Pestabola Merdeka 2023 kekal di Bukit Jalil

Final Pestabola Merdeka 2023 kekal di Bukit Jalil

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Final Pestabola Merdeka 2023, Malaysia menentang Tajikistan kekal akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, keputusandibuat menerusi mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan keadaan terkini padang di stadium tersebut, tengah hari Ahad yang mana selepas penelitian dan penilaian dari aspek teknikal, ia boleh digunakan untuk aksi final.

Menurutnya, keputusan tersebut turut mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain termasuk dari aspek logistik membabitkan sekretariat, petugas serta pasukan yang terlibat, selain tiada venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya.

“Biarpun keadaan padang baharu Stadium Nasional tidak begitu memuaskan sewaktu perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, Malaysia melawan India pada Jumaat, FAM yakin dan percaya bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaikpulih keadaan rumput tersebut menjelang Selasa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengerusi PSM, Dato’ Hans Isaac turut disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Seri Windsor John; Pengerusi LOC Pestabola Merdeka 2023 yang juga Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon pada tengah hari telah melakukan pemeriksaan bagi melihat sendiri keadaan terkini padang Stadium Nasional.

Noor Azman berkata, selepas pemeriksaan tersebut, mesyuarat yang disertai pihak-pihak terbabit telah bersetuju untuk aksi Final Pestabola Merdeka 2023, Selasa ini tetap dimainkan di Stadium Nasional berdasarkan perkembangan positif yang dapat dilihat pada kerja-kerja baik pulih padang tersebut.

Menurutnya, Pan Gon sendiri dari segi teknikal melihat bahawa padang tersebut boleh dimainkan dan berasakan adalah lebih baik aksi final kekal di Stadium Nasional supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya.

“FAM cukup berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh serta PSM yang mana pihak mereka sudah berusaha keras dan sedaya upaya dalam menjayakan projek penukaran rumput baharu di Stadium Nasional ini dan memastikan ia dapat digunakan pada Pestabola Merdeka 2023 ini.

“Junjung kasih juga kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas kesudian baginda menaja pemasangan rumput baharu jenis Zeon Zoysia ini,” ujar beliau.

Tambahnya, mungkin atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan terutama dari segi tempoh masa, keadaan padang baharu ini tidak cukup sempurna seperti yang semua harapkan untuk diguna pakai pada Pestabola Merdeka 2023 ini, namun ia masih tetap lebih baik berbanding rumput cow grass yang digunakan sebelum ini.

Menurutnya, dengan mengambil kira bahawa Stadium Nasional ini merupakan ‘ ‘Home of Harimau Malaya’ dan jumlah penjualan tiket aksi final yang sudah melebihi 10,000 penonton setakat ini, tiada venue lain di sekitar Lembah Klang yang mampu untuk menampung kapasiti tersebut kecuali Stadium Nasional.

“Jika dipindahkan aksi final ke Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, ia akan menimbulkan lebih masalah dan kesulitan kepada para penyokong setia Harimau Malaya yang telah pun membeli tiket-tiket tersebut kerana majoriti mereka berada di Lembah Klang.

“Justeru, dengan mengambil keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan PSM di sepanjang tempoh beberapa hari menjelang Selasa ini bagi memastikan tahap atau keadaan padang Stadium Nasional dapat diminimumkan kerosakannya demi memastikan aksi final dapat berjalan dengan lancar,” jelas Noor Azman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com