Sunday, 12, May, 2024
Utama Sukan BDB Masters 2023 tawar hadiah banglo RM1 juta, kereta Perodua Ativa

BDB Masters 2023 tawar hadiah banglo RM1 juta, kereta Perodua Ativa

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kejohanan Golf BDB Masters 2023, kejohanan golf amatur yang paling dinanti-nantikan kini kembali lagi di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, Kedah mulai hari ini hingga Ahad.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata BDB Master 2023 juga telah tersenarai di dalam kalendar World Amateur Golf Ranking dan dijangka akan lebih meriah selepas terhenti akibat wabak pandemik Covid-19 beberapa tahun sebelum ini.

Menurutnya, kejohanan golf ini dibahagikan kepada Nett dan Gross dan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Open, Intermediate dan Senior.

“Kategori Open, ia terbuka kepada para pemain yang memilik Handicap 0-14, kategori Intermediate pula mempunyai Handicap antara 15-24 dan kategori Senior pula terbuka kepada para pemain berusia 60 tahun ke atas dengan kategori nett sahaja serta Handicap 18 ke bawah.

“Sasaran yang diletakkan untuk kejohanan pada kali ini ialah seramai 120 pemain dan sambutan diterima memberangsangkan terhadap pertandingan ini membuktikan yang BDB Masters bukan sahaja dikenali dan diiktiraf oleh pemain golf di Negeri Kedah sahaja malah di seluruh negara,” kata beliau.

Tambah Raja Shahreen lagi, BDB Masters 2023 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000 serta tarikan utama kejohanan ialah hadiah untuk pukulan “hole in one” kepada pemain yang berjaya pada hari pertama sehingga hari ketiga.

Jelas beliau, BDB Masters 2023 menawarkan hadiah yang cukup istimewa kepada pemain yang berjaya untuk membuat pukulan “hole in one” pada hari ketiga iaitu sebuah rumah banglo The Breeze, Darulaman Lakehome di Bandar Darulaman, Jitra yang ditaja oleh anak syarikat BDB iaitu BDB Land Sdn Bhd bernilai lebih RM1 juta.

“Di samping itu, kejohanan kali ini turut menawarkan sebuah kereta Perodua Ativa yang ditaja oleh Zurich General Insurance Malaysia Berhad bernilai RM63,000 bagi pemain yang berjaya membuat pukulan “hole in one” pada hari pertama atau kedua.

“Kumpulan BDB selaku tuan rumah akan terus komited dalam usaha untuk menawarkan pertandingan golf terbaik di kawasan utara tanah air yang mempunyai kelainan bukan sahaja dari segi hadiah yang ditawarkan malahan cabaran yang dapat menarik minat peserta dari dalam dan luar negara untuk turut menyertai pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com