Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Serang Hospital Gaza tindakan gila, tidak perikemanusiaan – PM

Serang Hospital Gaza tindakan gila, tidak perikemanusiaan – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan terbaharu Israel di Hospital Al-Ahli al-Arabi di utara Semenanjung Gaza, malam tadi sebagai satu tindakan gila dan tidak perikemanusiaan.

Beliau berkata, ini merupakan satu serangan keterlaluan oleh pihak Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Perkembangan terakhir dan terkini mengenai serangan Israel itu agak keterlaluan. Apa yang dituduh dan siapapun, ini ialah (akibat) serangan dan perang. Sebab itu, kita kata hentikan dan beri masa untuk kita redakan.

“Kalau teruskan ini, yang menjadi mangsanya adalah wanita, anak-anak dan pesakit. Ini dah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Symposium – The Path Towards Greater Prosperity For Malaysia di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mengulangi beberapa kenyataan yang dibuat selain mendukung beberapa kenyataan sesetengah pimpinan negara luar yang menyatakan kesal dan mengecam pengeboman hospital di Gaza itu.

Anwar berkata, beliau kesal dengan sikap bermuka-muka negara barat yang kononnya membela hak kemanusiaan di Gaza.

“Paling dikesalkan, negara barat yang bercakap soal hak kemanusiaan ini rupanya ada kategori. Ada manusia kelas satu dan ada manusia kelas hamba.

“Dan ini yang kita bantah sekeras-kerasnya. Tapi sekarang ada tuduhan pelbagai, saya tak kira soal pokoknya hentikan kegiatan (serangan) ini,” katanya.

Katanya, beliau  akan bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman selepas menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik serangan di Gaza itu.

Beliau berkata, lawatan sehari itu bagi melihat keperluan dan berbincang dengan beberapa pimpinan negara-negara Islam sama ada secara kunjungan atau menghubungi melalui telefon.

Serangan pengeboman terbaharu di hospital itu malam tadi mengorbankan lebih 500 nyawa dan hospital itu dipercayai menjadi  menjadi tempat beribu pelarian Palestin mencari perlindungan di Gaza.

Sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak Hamas melakukan serangan mengejut pada 7 Oktober di Israel yang telah membunuh lebih daripada 1,400 orang.

Ditanya mengenai status pasukan pengaman negara di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan, Anwar berkata, keputusan mengekalkan pasukan keamanan di negara itu dibuat bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Jika keadaan keselamatan dapat terjamin, kita (Malaysia) teruskan dan jika tidak kita akan bawa pulang,” katanya.

Pada 15 Oktober lalu, beberapa lokasi di selatan Lubnan turut berdepan serangan roket oleh Israel.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com