Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Israel angkuh kerana sokongan AS, Eropah

Israel angkuh kerana sokongan AS, Eropah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Israel telah menjadi terlalu angkuh kerana sokongan yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pemimpin-pemimpin negara Arab dan Islam juga sedar bahawa konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel bukan mudah untuk diselesaikan.

“Tiada siapa yang jangka perkara ini dapat diselesaikan dengan mudah. Anda tahu kenapa? Israel menjadi angkuh kerana sokongan AS dan Eropah.

“Kita tanya mereka (negara Arab). Kamu lebih tahu sebab kamu berjiran. Apa yang saya perlu beritahu kepada rakyat Malaysia?

“Kemungkinan Israel dan tentera-tentera untuk memasuki (Gaza) adalah tinggi dan boleh. Masa depan bagi mereka (Palestin) sangat malap. Kemungkinan tentera Israel akan tetap menceroboh ke Gaza.

“Sebagai orang Islam, kita yakin dengan pertolongan Allah. Tetapi ingat, kita harus terima kenyataan, keadaan sekarang akan lebih parah bagi rakyat Gaza kerana keangkuhan dan kezaliman Israel yang disokong oleh negara-negara barat,” katanya ketika menyampaikan Pidato Kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Arena Axiata di sini pada Selasa malam.

Dalam masa sama, Anwar menyifatkan sebagai satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan manusia, bayi serta pengeboman hospital dan sekolah, yang dilakukan Israel ke atas Palestin.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan keadaan di Gaza akan bertukar lebih buruk susulan pencerobohan terhadap tanah milik Palestin kerana sokongan negara-negara barat.

“Apa yang patut saudara-saudara terima bukan cerita senang daripada saya. Saya menyampaikan dalam perbincangan dengan pemimpin-pemimpin dunia Islam, keadaan sangat-sangat genting.

“Dalam beberapa minggu, parah, luka berdarah dan kematian lebih ramai bayi-bayi di bawah tangan ganas Israel.

“Tentera Amerika penuh di Timur Tengah, tentera Inggeris, Perancis bersedia memberikan laluan mudah kepada Israel. Saudara, ini yang saya katakan sudah sampai ke tahap kegilaan,” ujarnya.

Terdahulu, laungan ‘Hidup Gaza’ dan ‘Free, Free Palestine’ bergema di Axiata Arena sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin.

Ribuan masyarakat berbilang bangsa dan agama hadir bagi menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan penindasan rejim Israel.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com