PETALING JAYA: Semua jabatan dan agensi peringkat Persekutuan diarahkan berkerjasama dengan kerajaan negeri memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu pencaran air berdasarkan Laporan Status Kualiti Air Sungai Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil perhatian serius terhadap isu-isu pencemaran air yang sering terjadi pada sebelum ini.
Katanya, Pusat Teknikal Empangan dan Infrastruktur Air akan diselaraskan dengan menempatkan para pegawai berpengalaman merentas kepakaran untuk melaksanakan pengawasan dan pemeriksaan daripada aspek keselamatan dan teknikal empangan secara berpusat bagi mengurangkan risiko bencana berkaitan dengan kegagalan empangan yang memberi ancaman kepada rakyat.
“Saya singgung akan keperluan kita untuk mengimbangi ketersediaan serta keperluan air negara dengan menguruskan sumber air dengan lebih efektif berdasarkan prinsip tata kelola yang terbaik supaya ia boleh digunakan secara optimum bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Kelima sebagai platform penting di antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang bertanggungjawab menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus memperkasa pengurusan air negara melalui Dasar Air Negara bersama sesi libat urus kerajaan negeri yang akan dilaksanakan sebelum ia dimuktamadkan.