Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Malaysia bukan condong kepada China, secara geografi dekat dengannya – PM

Malaysia bukan condong kepada China, secara geografi dekat dengannya – PM

oleh Ammar Haziq

SAN FRANCISCO: Malaysia bukanlah sebuah negara yang condong ke arah China, namun secara geografinya memang negara itu dekat dengan Malaysia, dan menjadi rakan serta sekutu yang boleh dipercayai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Amerika Syarikat juga sama pentingnya, dan ia merupakan sekutu tradisional serta pelabur utama yang membantu memacu ekonomi Malaysia.

“Secara keseluruhannya Amerika Syarikat menjadi negara nombor satu dari segi jumlah pelaburan kami, tetapi China semakin hari semakin menjadi salah satu pelabur utama,” katanya pada sesi soal jawab di University of California, Berkeley, di sini, Selasa.

Professor dan Alan P.Bedford Endowed Chair, Pengarah Sains Politik, Berkeley APEC Study Center, Dr Vinod Aggarwal menjadi moderator pada sesi yang berlangsung selama kira-kira sejam itu.

“China adalah negara jiran Malaysia, negara yang penting dan telah matang dari segi kerancakan ekonominya, dan kita akan mendapat manfaat besar sekiranya kita terus melibatkan diri dengannya,” kata Anwar.

“Jadi pandangan saya begini, semasa kita perlu dengar negara-negara kuasa besar ini, mereka juga perlu terlibat dan dengar pandangan serta pendirian kita. Kita adalah sebuah ekonomi yang sedang dan pesat membangun, (dan) perlu melibakan diri serta membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk negara,” katanya.

Mengenai peranan Malaysia, atau ASEAN secara keseluruhannya di Laut China Selatan, Anwar yang berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 berkata: “ASEAN ada membincangkan pendiriannya. Secara idealnya ASEAN perlu mengambil kedudukan serantau pelbagai hala dalam penglibatan dengan China.”

“… dalam peta yang gambarkan oleh China baru-baru ini, ada pertindihan di kawasan yang menjadi tuntutan, namun dalam persoalanan dengan China ini, Malaysia sebenarnya berjaya dari segi rundingan dengan pihak China,” katanya.

Anwar percaya bagi Malaysia, isu itu adalah lebih sukar dalam pertindihan tuntutan yang membabitkan negara Filipina dan Vietnam.

“Malaysia juga berunding dengan mereka, tetapi kedudukan kami adalah untuk memastikan kita perlu menjadikan ia kekal sebagai masalah serantau. Jangan benarkan ia melibatkan negara lain, kerana itu akan memburukkan lagi krisis,” katanya.

“Penyelesaiannya sudah tentu adalah menerusi penglibatan diplomatik yang agresif, dan yang sedang kita diteruskan, walaupun dalam ASEAN sendiri, seperti yang saya katakan, dengan Filipina dan Vietnam, bersama-sama dengan AASEAN dan juga China,” katanya.

Ditanya mengenai apa kemungkinan yang bakal muncul hasil pertemuan dua hala dengan Presiden Joe Biden dan Xi Jinping dari China di luar mesyuarat (APEC), beliau berkata, ia tidak boleh diketepikan sebagai wacana biasa.

“Mesyuarat itu diperhatikan, bukan sahaja oleh ekonomi anggota APEC tetapi juga dunia.

“Pertemuan itu (boleh menghasilkan beberapa) resolusi, tidak semestinya mengenai masalah perbalahan Gaza, Palestin atau Ukraine, Rusia,” katanya.

“Sekurang-kurangnya pelaburan perdagangan dan pemahaman tentang isu berkaitan ini akan membantu menanamkan lebih keyakinan kepada ekonomi yang diperlukan, bukan sahaja oleh Amerika Syarikat dan China tetapi juga kebanyakan negara,” katanya.

Beliau berkata, hubungan yang lebih baik antara China dan Amerika Syarikat bermakna manfaat yang besar kepada negara Asean, termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com