Wednesday, 22, May, 2024
Utama Nasional Malaysia-Thailand tubuh pasukan petugas pacu kerjasama

Malaysia-Thailand tubuh pasukan petugas pacu kerjasama

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi merancakkan kerjasama dua hala dalam sektor pertanian, pelancongan, perdagangan, perniagaan termasuk halal serta keselamatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Srettha Thavisin semalam.

Anwar berkata mesyuarat bilateral antara beliau dan Srettha, kedua-dua negara bersetuju akan mengadakan pertemuan semula dalam tempoh sebulan bagi menilai dan melihat perkembangan pasukan petugas berkenaan.

Anwar pada sidang media selepas mesyuarat itu berkata, laporan berkaitan pasukan petugas itu perlu disiapkan dalam tempoh sebulan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan berkesan.

“Ini amat jarang berlaku dalam perbincangan yang pragmatik apabila Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan beberapa pasukan petugas dalam sektor berkaitan.

“Saya yakin perkara ini mampu direalisasikan berdasarkan prestasi Srettha dalam bidang korporat dan keseriusannya yang praktikal, kami akan bertukar nota untuk memastikan ia boleh dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau amat berharap hubungan baik Malaysia dan Thailand berupaya meningkatkan lagi sektor perdagangan serta pelaburan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Dalam pada itu, mesyuarat terbabit turut membincangkan hasrat syarikat automobil, Geely dan PROTON yang mahu membuka kilang kenderaan elektrik (EV) di Thailand.

Anwar berkata, beliau meminta syarikat berkenaan untuk berbincang dengan Perdana Menteri Thailand mengambil kira pengalaman luas negara berkenaan dalam industri terbabit.

Sementara itu, Srettha pada sidang media sama, menyambut baik hasrat itu dan sedia mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu.

“Berhubung pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia ke Thailand, Anwar ada menyentuh mengenai PROTON dan Geely mahu membina kilang EV di Thailand.

“Selepas ini kami akan berbincang mengenainya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com