Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional PM tekad terus banteras amalan rasuah dalam pentadbiran

PM tekad terus banteras amalan rasuah dalam pentadbiran

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan prestasi yang ditunjukkan kepimpinan Kerajaan Perpaduan dalam menghentikan amalan rasuah serta salah guna kuasa.

Beliau berkata, ikhtiar itu adalah antara tekad yang dipegang sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan akan diteruskan sepanjang masa.

“Sepanjang setahun, kita pantau melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya bangga kerana keputusan kita, ikut proses tatakelola, ikut tender, bagi amaran yang keras, pimpinan tidak boleh guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga.

“Alhamdulillah, seminggu lalu, ditanya laporan SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) serta polis, pimpinan kita dapat pertahan supaya menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di sini, pada Khamis.

Perdana Menteri, bagaimanapun mengakui rasuah di negara ini belum dihapuskan sepenuhnya dan masih berlaku.

“Masalah ini (rasuah) belum selesai sepenuhnya kerana kecurangan ini masih berlaku dan harus kita gempur dengan segala kekuatan yang ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kerajaan Perpaduan akan memulakan corak yang lebih tegas dan pantas dalam mengemudi negara pada tahun kedua pentadbirannya bagi memastikan martabat Malaysia diangkat lebih tinggi.

Katanya, meskipun pada tahun pertama berdepan situasi terumbang-ambing pada awalnya, kerajaan berupaya melaluinya dengan dasar yang jelas termasuk menyelesaikan masalah asas rakyat.

“Tahun pertama kita kemudi (Malaysia), pada awalnya terumbang-ambing tetapi Alhamdulillah dasar jelas kita selesaikan masalah rakyat.

“Cukup setahun dengan mandat ada… tahun (baharu) ini, kita akan mula dengan lebih tegas dan lebih jelas untuk bangunkan ekonomi negara,
“Maka percayalah dengan mandat yang ada, tahun (baharu) ini kita akan mula dengan lebih tegas, lebih jelas untuk membangunkan ekonomi negara dan keras menghadapi segala rintangan atau…percubaan merosakkan sendi negara kita dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Insya-Allah dengan semangat ditunjukkan pimpinan Kerajaan Perpaduan, kita akan memulakan satu corak yang lebih tegas dan pantas mengemudi negara ini, lebih baik daripada apa yang kita capai dalam tahun lalu,” jelasnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau kemudian mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember 2022.

Pada 19 Januari lalu, Anwar memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com