Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Bapa naik pentas terima ijazah anak terlantar sakit kanser

Bapa naik pentas terima ijazah anak terlantar sakit kanser

oleh Ammar Haziq

SINTOK:Hasrat pasangan suami isteri untuk melihat anak kesayangan menaiki pentas menerima skrol ijazah tidak kesampaian apabila mereka hadir mewakili Abdul Rahman Muhamad Rashidi, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Perniagaan) di Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM).

Muhamad Rashidi Sabudin yang hadir bersama isteri, Mahirah Mohd Sood menerima skrol tersebut yang disampaikan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada sesi kelima majlis konvokesyen tersebut.

Dr. Mohd Foad berkata, beliau sempat menziarahi Abdul Rahman di rumahnya di Cheras pada awal November lalu untuk bertanyakan perkembangan semasanya.

Menurutnya, Abdul Rahman kini lumpuh dari bawah perut hingga ke kaki sejak Ogos lalu kerana sel kanser menekan saraf tunjang dan pada Oktober baru-baru ini, beliau telah kehilangan keupayaan tangan untuk bergerak atau mengangkat barang.

Katanya lagi, anak kedua daripada enam beradik itu kini hanya bergantung pada mesin Oxygen Concentrator sepenuhnya dan diletakkan di bawah penjagaan paliatif.

“Ketika ditemui, pemuda ini tetap tersenyum meskipun sedang menanggung ujian besar pada usia masih muda.

“Abdul Rahman pasti sedang menyaksikan majlis ini dari jauh. Saya dan seluruh warga UUM berdoa agar kesihatan kembali pulih,” katanya.

Abdul Rahman dikesan menghidap kanser tulang tahap empat pada Mei 2021 setelah mengalami sakit berpanjangan di bahagian lutut kiri sehingga beliau sukar tidur malam.

Keputusan ujian MRI (pengimejan resonans magnetik) yang dilakukan mengesan terdapat ketumbuhan di kaki yang memaksa Abdul Rahman memilih untuk memotong sebahagian kaki kirinya dan bermula dari situ, anak kedua daripada enam beradik ini belajar memakai kaki palsu atau prostesis untuk meneruskan kehidupan seharian.

Namun, siapa sangka dalam tempoh kurang setahun, suami kepada Puteri Nurul Jannah Ahmad Daud sekali lagi ditimpa ujian apabila doktor mengesan sel kanser merebak ke bahagian paru-paru kirinya sehingga menyukarkan Abdul Rahman bernafas.

Abdul Rahman pernah berkata, sesiapa pun didiagnosis kanser, janganlah berputus asa.

Suasana di dalam dewan mengundang sebak apabila video rakaman Abdul Rahman memakai jubah konvokesyen ditayangkan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com