Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Pelarasan gaji golongan profesion teknikal diberi keutamaan dalam SSPA

Pelarasan gaji golongan profesion teknikal diberi keutamaan dalam SSPA

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan soal pelarasan gaji golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ketika merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN2023) di sini, Anwar berkata kehadirannya adalah bagi mengiktiraf peranan golongan profesion teknikal yang sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang.

“Kedudukan golongan ini dengan sendiri terangkat dan sangat kritikal. Sesuai dengan pengiktirafan itu saya telah beri komitmen iaitu dalam pelarasan gaji peranan profesion teknikal itu harus diberikan tempat sewajarnya,” kata beliau.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta badan profesional dalam profesion itu supaya mengemukakan input munasabah dalam soal pelarasan gaji menerusi SSPA.

HPTN telah diluluskan Jemaah Menteri pada Oktober 2018 untuk diadakan secara tahunan pada Sabtu pertama Disember sebagai penghargaan dan pengiktirafan jasa disumbangkan profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara.

Sementara itu, Anwar mengulangi gesaan supaya syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempertingkatkan kerjasama dengan institusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) menerusi penyaluran kepakaran dan kemahiran seiring keperluan industri, serta mengarahkan Khazanah Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenaga Nasional Bhd antaranya untuk melibatkan diri secara langsung latihan TVET.

“Dengan cara itu TM (contohnya) tahu keperluan jenis latihan yang perlu diberikan, dan sebaiknya bantu uruskan dan beritahu keperluan mesin untuk latih anak-anak (di institusi TVET),” kata beliau serta menambah setakat ini, sebanyak 64 syarikat swasta dan GLC telah bekerjasama dengan institusi TVET.

Anwar berkata persepsi rakyat terhadap TVET kini berbeza kerana berlaku peningkatan kemasukan pelajar peringkat diploma bagi program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi iaitu 58,424 pelajar pada 2021 kepada 85,535 pelajar pada 2022.

“Latihan profesional teknikal sesuatu sangat kritikal dan patut diangkat. TVET harus diperbaiki kerana 97 peratus lulusan TVET sekarang dapat pekerjaan dengan majoriti gaji masih sekitar RM2,000,” katanya.

Beliau turut menekankan usaha meningkatkan lulusan TVET meningkatkan kemahiran tambahan di bidang tertentu kerana ia dapat meningkatkan kadar upah mereka.

“RM2,000 tidak cukup untuk hidup zaman sekarang tetapi kalau ada latihan seperti dilakukan Petronas di Sarawak dan pusat latihan di Sabah umpamanya.

“Dengan sendirinya selepas lulus ada peningkatan upah itu daripada RM2,000 ke minimum RM3,500 sampai ke RM5,000 dan untuk kimpalan, menurut Petronas sampai RM7,000,” kata beliau.

Anwar dalam pada itu menzahirkan rasa bangga Jemaah Menteri di bawah kerajaan pimpinannya telah memastikan setiap projek dilakukan dengan telus.

“Selagi Allah SWT beri kekuatan dan kestabilan politik yang ada, saya akan perang dengan orang yang salah guna kuasa tidak kira pangkat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com