Sunday, 28, April, 2024
Utama Politik PRK Kemaman: Anwar harap kemenangan Samsuri redakan suhu politik

PRK Kemaman: Anwar harap kemenangan Samsuri redakan suhu politik

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar atas kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Sabtu.

Beliau berkata, kemenangan Ahmad Samsuri sekurang-kurangnya dapat meredakan suhu politik negara berdasarkan imej sederhana yang disifatkan berbeza dengan pimpinan Pas lain yang ekstrem.

“Saya ucap tahniah kepada Samsuri atas kemenangan itu, mudah-mudahan semoga dia dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Dan juga dari segi negara dia memberi sekurang-kurangnya kelegaan kerana imej lebih sederhana, daripada sikap pimpinan Pas yang nampak jauh lebih ekstrem. Mudah-mudahan dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada acara perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN 2023) di Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beliau juga telah mengadakan mesyuarat bersama pimpinan UMNO untuk berbincang mengenai keputusan PRK Kemaman.

“Kalau tengok undi itu, dia ada sedikit susutan dari Pas. Semalam kita ada mesyuarat di antara PH dan pimpinan UMNO dan saya puas hati kerana nampak mereka akan kerahkan jentera untuk ke akar umbi,” katanya.

Pada PRK itu, Ahmad Samsuri menang selepas memperoleh 64,998 undi, iaitu majoriti 37,220 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang hanya memperolehi 27,778 undi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com