Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional PM ulangi ikrar bela nasib rakyat Palestin

PM ulangi ikrar bela nasib rakyat Palestin

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia akan melakukan apa sahaja usaha untuk terus berjuang membela nasib rakyat Palestin yang tertindas susulan kekejaman Israel di Gaza yang masih berlarutan.

Ini termasuk gesaan gencatan senjata dalam konflik berkenaan dan penerimaan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Itu tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulangi ikrar berkenaan melihat kepada penderitaan rakyat Palestin yang tidak berkesudahan.

Selain itu, mengulas berkenaan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat, Anwar menyambut baik keputusan itu dan akan terus memantau perkembangan di Semenanjung Gaza.

Beliau juga memuji pendirian ICJ yang mengambil kira keadaan teruk yang sedang melanda Gaza, meskipun tiada arahan gencatan senjata terhadap perang tersebut.

“Kita akan buat sahaja untuk terus berjuang bagi Palestin. Malaysia akan terus memantau dan lakukan apa sahaja seperti mana disuarakan Menteri Luar di sidang PBB New York beberapa hari lalu.

“Walaupun menurut teman-teman dari Palestin… (keputusan itu) tidak sepenuhnya memihak… tetapi jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusian.

“Sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara pada Sabtu.

Pada Jumaat, ICJ memutuskan Israel mesti membenarkan bantuan kemanusiaan oleh mana-mana pihak ke Gaza malah mereka diarahkan untuk menghalang semua kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Bagaimanapun ICJ tidak memutuskan gencatan senjata dalam konflik berkenaan.

Pada 12 Januari lalu, ICJ memulakan prosiding bicara kes yang dibawa Afrika Selatan yang menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com