Sunday, 24, November, 2024
Utama Negeri Balu tentera maut kemalangan empat kenderaan terima manfaat PERKESO

Balu tentera maut kemalangan empat kenderaan terima manfaat PERKESO

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Balu kepada kepada Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30 yang maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berdekatan Gurun pada 2 Februari lalu menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat.

Bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu diserahkan Pengarah PERKESO Kedah, Rak Boon Tan Rat kepada Nor Hasni Ishak, 32 dalam lawatan ke rumahnya di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, di sini.

Suri rumah itu menerima bayaran faedah pencen penakat PERKESO sebanyak RM330 setiap bulan selepas ini dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

Nor Hasni ketika ditemui mengakui bersyukur dengan bantuan tersebut dan akan memanfaatkan sebaik mungkin bayaran tersebut selepas ini.

“Saya tak sangka akan dapat pencen sebab dia pernah bekerja kilang sebelum ini, walaupun tak banyak namun ia sangat membantu untuk kelangsungan hidup saya.

“Sekarang saya tinggal sementara bersama keluarga arwah suami dan selepas habis tempoh edah, saya akan keluar mencari kerja,” katanya pada Isnin.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat Gurun.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Selain Lans Koperal Mohd Hafiz yang bertugas di Batalion ke-3 Rejimen Sempadan di Kem Pengkalan Hulu, Perak, dua lagi identiti anggota yang maut ialah Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, dan Koperal Mohd Asri Idris, 40.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com