Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Pas Kedah sokong MB, pertahan naratif sejarah Pulau Pinang-Kedah bukan jenayah

Pas Kedah sokong MB, pertahan naratif sejarah Pulau Pinang-Kedah bukan jenayah

oleh Ammar Haziq
Datuk Ahmad Yahaya

ALOR SETAR – Pas Kedah mendakwa bahawa mempertahankan naratif sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah, bahkan tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai suatu bentuk hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.


Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknynya turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 


Menurutnya, pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputarbelit bahkan mempunyai sokongan kajian yang kukuh.

“Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini. Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar PH dalam PRU ke-15 yang lalu.

“Kerajaan Negeri Kedah telah berulangkali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis. Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini,” dakwanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Ahmad berkata lagi, Pas Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu ini tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah kerana isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara.


Jelasnya, Pas Kedah turut yakin bahawa membahaskan fakta sejarah bukan suatu kesalahan jenayah. 


“Hakikatnya, sememangnya terdapat usaha membunuh karakter seorang yang bernama Sanusi. Mereka lebih berminat menjatuhkan MB Kedah berbanding berbahas soal sejarah,” dakwanya lagi. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com