BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Kastam Kedah berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan 14,000 liter minyak diesel di Kompleks Dagangan Berat (Eksport) Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada 4 Mac dan 5 Mac lalu.
Pengarahnya, Nor Izah Abd Latiff berkata, sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan
Bukit Kayu Hitam bersama pegawai dari Cawangan Import Eksport Bukit Kayu Hitam telah melakukan pemeriksaan terhadap dua lori treler bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu lelaki warganegara Thailand.
Menurutnya setelah melakukan pemeriksaan, pasukan mendapati terdapat beberapa bahagian lori treler dan semi treler telah diubah suai untuk mengangkut minyak yang dipercayai minyak diesel untuk diseludup ke negara jiran.
“Dua Lori treler terbabit bergerak ke negara jiran melalui Kompleks Dagangan Berat (Eksport) Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dengan mengikrar sebagai lori kosong.
“Namun, pegawai kastam Bukit Kayu Hitam telah memeriksa dengan teliti lori treler tersebut dan mendapati terdapat beberapa bahagian semi treler dan juga tangki pada lori treler tersebut telah di ubah suai. Pengubahsuaian tersebut membolehkan lori treler ini mengisi minyak diesel dengan lebih banyak dari lori treler yang lain,” katanya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan awal terhadap dua buah lori treler yang telah disita tersebut mendapati anggaran sebanyak 14,000 liter minyak diesel cuba diseludup ke negara jiran yang bernilai sebanyak RM30,100.
Menurutnya, nilai anggaran untuk kedua-dua lori treler tersebut ialah RM250,000 dan jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM280,100.
“Tangki lori dan juga semi treler ini telah diubah suai supaya boleh mengisi lebih banyak minyak diesel dan pengubahsuaian ini juga cuba mengaburi pihak Kastam.
“Lori treler ini akan membuat sekurang-kurangnya 2 hingga 3 trip sehari berulang alik dari negara jiran ke Malaysia,” ujar beliau.
Nor Izah berkata lagi, minyak Diesel merupakan komoditi yang memerlukan suatu lesen eksport mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023, Jadual 3, Bahagian 1, Item No 36
(1)dan kes di siasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.