SIK – Arwah ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan pemimpin itu agar terus menyantuni dan membantu rakyat yang susah seperti yang dilakukannya sebelum ini.
Muhammad Sanusi yang merupakan anak ketujuh daripada 13 beradik berkata, itu antara nasihat yang sering diberikan oleh Allahyarhamah ibunya, Meriam Ahmad, 74 yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada pagi Khamis.
Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu ibunya adalah minggu lalu dan beliau tergerak hati untuk pulang ke kampung tiga kali berbanding sekali seminggu sebelum ini.
“Mak saya pesan supaya kerap ziarah orang susah seperti mula jadi Menteri Besar dulu, itu lah nasihat yang arwah paling tekankan,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pau di sini, pada Khamis.
Jelas beliau, bapanya, Md Nor Taib,83 memberitahu arwah ibunya kelihatan cergas sahaja pada minggu lalu.
“Baru ini nampak dia sihat saja, ayah saya kata dia minggu itu dia kait buah rambutan nak bawa pergi rumah anak di Kuala Lumpur, kemudian dia ajak cucu makan mi di Tanjung Dawai.
“Ayah saya kata dia cergas luar biasa, mungkin itu tanda-tanda dia (hendak pergi selamanya), selepas mak meninggal baru pak perasan,”ujar beliau.
Muhammad Sanusi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, selepas tiga hari menerima rawatan.
Menurutnya, ibu beliau pergi dalam keadaan tenang dan semua adik beradiknya berada disisi ibu mereka pagi tadi.
“Arwah ibu tidak mempunyai penyakit lain kecuali masalah jantung sehingga menyebabkan arwah terkena strok dan rebah Isnin lalu.
“Ketika dia rebah abang saya sempat sambut dan terus dibawa ke Hospital Sik dan ditidurkan sebelum di bawa ICU HSB pada hari yang sama,” katanya lagi.
Jenazah Allahyarhamah Meriam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pau, di sini pada jam 5.45 petang Khamis.
Terdahulu jenazah Allahyarhamah dibawa ke Masjid Al-Ubudiah Sungai Pau dan disolatkan oleh kira-kira 5,000 jemaah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Solat jenazah diimamkan anak keempat Allahyarhamah, Sobri Md Nor.