Saturday, 19, October, 2024
Utama Negeri UUM bantu pelajar kurang kemampuan, tangguh yuran daftar

UUM bantu pelajar kurang kemampuan, tangguh yuran daftar

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) bersetuju melaksanakan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang meminta supaya pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif yang baharu, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, selain penangguhan bayaran yuran, pelajar dalam kategori tersebut tanpa mengira kaum dan agama yang akan memasuki universiti ini 1 Oktober 2024 ini juga diberi bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang.

Menurutnya, seramai 166 pelajar telah dikenal pasti dalam kategori ini dan sebahagian mereka sudah pun diberikan bantuan wang berkenaan, selain bantuan berupa Bakul Rahmah untuk keluarga mereka.

“UUM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah memaklumkan kepada semua pelajar kurang berkemampuan yang akan mendaftar untuk memberikan nama dan maklumat berkaitan kepada UUM termasuk mereka dari kategori keluarga miskin dan daif.

“Selain itu, UUM juga bersedia menawarkan bantuan pembiayaan yuran percuma sepanjang pengajian bagi pelajar kategori keluarga miskin yang menjadi anak pertama dalam keluarga yang memasuki universiti. Bantuan ini dinamakan Program Sulung 3.0,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Khamis yang mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka.

Zambry turut mengarahkan pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui PTPTN kepada golongan mahasiswa berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Foad menjelaskan, UUM juga menyediakan ‘food bank’ kepada pelajar yang memerlukan untuk memastikan tiada pelajar kelaparan kerana ketiadaan duit.

Menurutnya, di samping itu, bantuan termasuk pemberian komputer riba percuma dan bantuan-bantuan lain yang difikirkan perlu akan terus menjadi aktiviti utama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

“Kita tidak mahu ada keluarga yang risau untuk menghantar anak mereka meneruskan pengajian di UUM kerana masalah kewangan,” ujarnya.

Tambahnya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed telah diminta untuk melaksanakan program ‘Jelajah Prihatin’ bagi mengenal pasti dan memberikan bantuan terus kepada pelajar yang memerlukan.

“Jabatan Hal Ehwal Pelajar akan turut membantu dalam memudahkan pelajar yang memerlukan bantuan pinjaman melalui PTPTN atau agensi lain,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com