Sunday, 24, November, 2024
Utama Negeri Isu tidak salam, CEO Madacorp mohon maaf kepada Mat Sabu

Isu tidak salam, CEO Madacorp mohon maaf kepada Mat Sabu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Gara-gara isu tidak salam yang tular, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MadaCorp), Abdullah Ismail membuat permohonan maaf kepada  Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan , Datuk Seri Mohamad Sabu.

Abdullah berkata, beliau sudah bersalaman dengan Mohamad sebaik menteri itu keluar dari kereta semasa  menghadiri Program Sentuhan Madani di sini pada Isnin.

Menurutnya, beliau juga turut mengiringi menteri tersebut untuk bersalaman dengan pegawai lain.

“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu,saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau.

“Justeru saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan ingin memohon maaf di atas salah faham yang telah berlaku,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, beliau berharap penjelasan dan permohonan maaf tersebut diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan yang tidak disengaja itu.

Pada Selasa, tular video yang menyaksikan Abdullah seolah-olah enggan bersalaman dengan Mohamad ketika menghadiri Program Sentuhan Madani di Kedah dan perbuatan tersebut mendapat kritikan daripada netizen.

Mohamad juga hadir untuk meninjau keadaan pesawah yang terjejas dengan banjir pada pertengahan September lalu di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris menyifatkan tindakan tersebut sebagai  tidak profesional dan tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat-menghormati, kerjasama, dan komunikasi yang beradab.

Menurutnya, jika terdapat perbezaan ideologi politik seharusnya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk saling menghormati antara satu sama lain, terutama dalam kalangan Melayu Islam.

“Orang Melayu kaya dengan adab dan tatasusila, oleh itu adalah penting untuk kita menggunakan nilai-nilai ini demi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu,’’ kata beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com