Monday, 14, October, 2024
Utama Negeri Kasih sayang seorang abang, naik motosikal sejauh 613 km daftar adik di UUM 

Kasih sayang seorang abang, naik motosikal sejauh 613 km daftar adik di UUM 

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Seorang penjual buah-buahan, Ee Tai Qing sanggup menunggang motosikal dari Sungai Udang, Melaka ke Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini

sejauh lebih 600 kilometer menemani adiknya mendaftar sebagai pelajar baharu pada pagi Selasa.

Menurutnya, dia bertolak ke Sintok pada Ahad sejauh lebih 600 kilometer (km) manakala adiknya, Ee Tai Zhi, 21, menaiki bas dari Melaka 

Lelaki berusia 27 tahun itu hadir bagi menemani  Tai Zhi yang ditawarkan belajar bagi mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM.

Pengorbanan Tai Qing itu mendapat perhatian Naib Canselor,Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan menyantuni dia dan adiknya di Bangunan Canselor UUM.

“Saya tak menduga mendapat pilihan program yang saya minati dan ingin menimba pengalaman baru di Lembah Sintok.

“Saya berjanji untuk memberi tumpuan penuh dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman,” kata Tai Zhi.

Tai Zhi antara 4,195 pelajar baharu UUM yang mendaftar pada pagi Selasa di Sintok yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda sesi 2024/2025.

Sementara itu, Mohd Foad berkata, daripada jumlah itu,  4,061 pelajar terbabit merupakan pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurutnya, seramai 3,860 adalah pengambilan melalui Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (BPKA) atau UPU dan 201 lagi adalah lepasan Asasi Pengurusan UUM.

“Kita menerima 77 pelajar antarabangsa iaitu 64 orang dari Indonesia, 12 pelajar China dan seorang dari Bangladesh bagi pengajian peringkat Sarjana Muda.

“Seramai 57 orang lagi pelajar antarabangsa adalah peserta mobiliti iaitu 34 orang dari Indonesia, 11 dari China, 7 pelajar dari Jepun, 3 dari Brunei dan 2 lagi pelajar Perancis menjadikan jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa 134 orang,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com