Friday, 18, October, 2024
Utama Negeri JHEAIK panggil Syeikh Muhd Zainul Asri isu puji guru secara keterlaluan

JHEAIK panggil Syeikh Muhd Zainul Asri isu puji guru secara keterlaluan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pendakwah bebas, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bagi mendapatkan penjelasan berkaitan satu video tular.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani Zainuddin berkata,  video tular tersebut memperlihatkan seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar dalam sebuah majlis mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab memuji guru mereka secara keterlaluan.

Menurutnya, Syeikh Muhd Zainul Asri telah diberikan nasihat agar lebih berhati-hati dalam tindakannya pada masa akan datang.

“Beliau akur dan mengakui kesilapan yang berlaku dan bersedia menerima teguran serta tindakan susulan yang akan diambil seterusnya oleh JHEAIK. 

“JHEAIK memberi teguran dan nasihat agar lebih berhati-hati dalam membesarkan mana-mana individu secara keterlaluan, dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif kalangan masyarakat,” katanya.

Abd Ghani berkata, Syeikh Muhd Zainul Asri mengakui video tersebut telah dirakam pada tahun 2020 yang lalu, namun hanya tular baru-baru ini.

Menurut Syeikh Muhd Zainul Asri, perkara tersebut berlaku secara spontan bukan atas kehendak beliau. 

“Beliau turut tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan sekadar meraikan hasrat pelajar beliau bertujuan meraikan sambutan hari lahir beliau,” ujarnya.

Tambah Abd Ghani, JHEAIK turut mengarahkan beliau agar menyampaikan teguran dan nasihat ini kepada pelajar dan pengikut beliau.

“Beliau akur dan mengakui kesilapan yang telah berlaku dan bersedia menerima teguran serta akur dengan tindakan susulan yang akan diambil seterusnya oleh pihak JHEAIK.

“JHEAIK berharap semua pihak di negeri ini berhati-hati dalam memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang boleh membawa kepada pemujaan melampau agar perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya lagi.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan dan menyediakan laporan berhubung video berkenaan.

Syeikh Muhd Zainul Asri kemudiannya tampil menjelaskan hantaran tular berkenaan adalah video lama yang berlaku sewaktu ulang tahun kelahirannya pada 2020, selain mengakui tidak bersetuju sebarang majlis sambutan hari lahir diadakan.

Menerusi hantaran di TikTok pada Khamis, beliau jelaskan terpaksa akur demi menjaga hati kesemua anak murid yang sudah bertungkus lumus membuat persiapan meraikan ulang tahunnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com