Thursday, 26, December, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Bunuh kerat lapan : Abah hayat terima pengajaran 23 tahun di penjara

Bunuh kerat lapan : Abah hayat terima pengajaran 23 tahun di penjara

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Bekas banduan akhir, Khairul Anuar Zakaria, 64 berharap masyarakat tidak terus menghakiminya atas kesalahan jenayah membunuh mangsa dan mengerat kepada lapan bahagian pada 4 Jun 2001.

Menurutnya, selepas dibebaskan pada 3 Oktober lalu dari Penjara Pokok Sena, di sini, dia mengakui peluang kedua tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk memulakan kehidupan baharu dan berbakti kepada masyarakat.

“Allah takdirkan saya dibebaskan selepas mendapat pengampunan dari Sultan Kedah pada Mei 2018, saya terselamat dari tali gantung dan dibebaskan 3 Oktober lalu.

“Perbuatan saya mengakhiri nyawa orang mengubah hidup saya, namun kerana perbuatan itu, saya mahu orang lain mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

“Kini saya mahu diberikan peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan ibu saya sebelum saya dijemput Ilahi,” katanya semasa ditemui di rumahnya, di Bukit Pinang, di sini baru-baru ini.

Jelas Khairul Anuar yang lebih dikenali dengan abah hayat, pengalaman di dalam penjara selama 23 tahun dengan mendalami ilmu agama mengajarnya erti kesabaran selain mengenali agama Islam dengan lebih mendalam.

Menurutnya, masyarakat juga diharapkan agar tidak memandang serong terhadap semua bekas banduan kerana perlu sokongan orang ramai agar dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Bagi lah ruang kepada saya untuk membimbing anak bangsa saya untuk meniti akhir usia saya sebab di dalam sana ada beberapa ramai juga yang dapat mengucap shahadah ketika bersama saya.

“Ramai yang hubungi saya dan jika ada peluang, saya mahu bantu bekas banduan memberikan motivasi kepada mereka. Saya tahu ramai yang terjebak semula dalam kegiatan tidak baik kerana pengaruh sekeliling,” ujarnya.

Tambahnya, kejadian ibunya menangis pilu semasa dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2008 menjadi antara detik paling menyentuh hatinya.

Menurutnya lagi, kejadian berkenaan memberikan kesan mendalam dalam hidupnya dan sentiasa memikirkan tentang ibunya sepanjang menjalani hukuman di penjara.

“Saya rasa itu kesalahan paling besar pada emak yang dilakukan oleh saya. Tapi hari ini Alhamdulillah Allah beri saya peluang keluar balik sebab saya kenang balik hadis Rasullullah SAW.

“Celaka lah bagi seseorang apabila dia tidak dapat masuk syurga Allah sedangkan dia dapat hidup bersama ketika ibu ataupun bapanya yang tua,” ujarnya.

Pada 22 September 2008, media melaporkan Khairul Anuar yang merupakan seorang jurujual dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, 38, dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian.

Sementara itu, dua lagi tertuduh dalam kes tersebut iaitu Ariffin Ahmad, 47, dan Muhammad Zaidi Salleh, 42, dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Datuk Kumbar, di sini antara pukul 5 pagi hingga 6.35 pagi, 4 Jun 2001.

Khairul Anuar kemudian mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.

Pada Februari 2024 pula, kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Alor Setar semula kerana kerajaan memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan di penjara dan hukumannya digantikan dengan hukuman penjara selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 2001.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com