Thursday, 12, December, 2024
Utama Negeri Santuni MADANI tangani isu sosioekonomi luar bandar

Santuni MADANI tangani isu sosioekonomi luar bandar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR -Lembaga Kemajuan Wilayah KEDA (KEDA) memperkasakan komunitinya melalui Program Santuni MADANI yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertujuan untuk meningkatkan potensi dan keupayaan komuniti luar bandar melalui pendekatan pemimpin yang lebih dekat dengan rakyat.

Hasrat program ini adalah untuk melibatkan pemimpin dalam sesi libat urus secara berterusan bagi menangani isu-isu sosioekonomi seperti kemiskinan, keciciran pendidikan, masalah kesihatan, pengangguran, keselamatan, infrastruktur, dan penyalahgunaan dadah.

Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata program ini membahagikan aktivitinya kepada dua segmen utama iaitu Kepimpinan Komuniti dan Sesi Libat Urus Masyarakat.

“Peserta dalam kalangan pemimpin komuniti seperti Jawatankuasa 4P Desa-desa KEDA dan pemimpin setempat telah menghadiri Klinik Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Luar Bandar. Ceramah disampaikan oleh pegawai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan penekanan terhadap ancaman Sindiket Penipuan Atas Talian (Scammer).

“Objektif utama program ini adalah untuk memupuk pemahaman dan penglibatan pemimpin kampung mengenai peranan mereka dalam pembangunan masyarakat serta memberi pendedahan terhadap peranan agensi kerajaan dan swasta dalam pembangunan kampung. Ini sekaligus mendorong komuniti untuk melibatkan diri dalam pembangunan yang dipacu oleh masyarakat itu sendiri, “.

Beliau berkata pada Sidang Media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (SANTUNI MADANI) Peringkat KEDA di Masjid Al-Ihsan, Seberang Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata masyarakat setempat berpeluang berinteraksi dengan 18 agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan kaunter bergerak dan pameran.

Melalui program ini, jelas beliau, KEDA berusaha mendekatkan pemimpin dan agensi kerajaan kepada komuniti bagi membantu menangani isu-isu sosioekonomi yang dihadapi oleh penduduk setempat.

Tambah beliau, program ini juga memberi peluang kepada pemimpin untuk berbakti semula kepada kampung halaman mereka, sekaligus memperkukuhkan semangat kebersamaan.

“Santuni MADANI bukan sahaja mendekatkan pemimpin kepada komuniti, tetapi juga menyediakan platform untuk masyarakat memperoleh maklumat dan sokongan yang diperlukan dalam mengembangkan potensi kampung.

Program ini menjadi landasan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai program-program yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensi berkaitan, serta usaha berterusan untuk memperkasakan komuniti luar bandar, ” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com