Thursday, 21, November, 2024
Utama Sukan KDA FC kelab pertama miliki hospital sendiri jika diambil alih DSAT Group

KDA FC kelab pertama miliki hospital sendiri jika diambil alih DSAT Group

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – DSAT Group Sdn Bhd telahpun menyenaraikan pelan buat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sekiranya mereka berjaya mengambil alih kelab tersebut.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, Sang Kenari bakal menjadi kelab pertama mempunyai hospital sendiri jika diambil alih Mahsuri Medical Centre (MMC) di bawah DSAT Group.

Menurutnya, KDA FC bakal mempunyai saham sebanyak 40 peratus dalam hospital swasta terbabit dan menjadi salah satu sumber pendapatannya dalam menguruskan kewangan kelab.

“Kita akan menaik taraf sehingga 200 katil di MMC dan memfokus pendapatan tahunan sebanyak RM500 juta.

“Sekiranya ini direalisasi dalam tiga tahun mendatang, KDA FC boleh setanding dengan kelab-kelab yang lain.Ini harapan saya,”katanya pada Ahad.

Jelas Azizul, banyak lagi syarikat yang akan dimiliki oleh KDA FC bagi menjana sumber kewangan kelab agar tidak berharap kepada tajaan orang semata mata dan bantuan kerajaan negeri.

Terdahulu, DSAT Group melalui MMC telahpun menghantar surat kepada KDA FC menyatakan rasa setuju pihaknya bersetuju menerima tawaran yang dibuat Exco Belia dan Sukan Kedah untuk pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC serta liabilitinya tertakluk dengan terma dan syarat-syarat perjanjian yang akan dimeterai di antara kedua-dua belah pihak kelak.

Surat tersebut melalui Ketua Pegawai Eksekutif Mahsuri Medical Centre, Dr Zaki Zamani Abd Rashid dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC,Mohamad Faidhi Mohd Rohdzi.

Menurut Dr Zaki Zamani, keputusan itu susulan perbincangan sewaktu pertemuan antara Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group Sdn Bhd dan Exco Belia dan Sukan Kedah yang merupakan salah seorang pemegang saham KDA FC sebanyak 21 peratus pada 24 Oktober lepas di Eastin Hotel Kuala Lumpur yang menyatakan hasrat agar DSAT Group Sdn Bhd mengambilalih KDA FC.

MMC yang merupakan anak syarikat DSAT Group Sdn Bhd mendapat arahan daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group,Datuk Seri Azizul Tandek bagi menyatakan minat bagi pengambilalihan saham KDA FC melalui surat ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com