Wednesday, 4, December, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Dicekup selepas empat jam samun kedai peralatan memancing

Dicekup selepas empat jam samun kedai peralatan memancing

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI, KEDAH – Empat lelaki diberkas polis dalam serbuan di Sungai Layar pada petang Ahad hanya empat jam selepas merompak sebuah kedai peralatan memancing.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun telah dikesan merompak sebuah kedai peralatan memancing di Jalan Lencongan Barat di sini menggunakan senjata sebilah parang.

Menurutnya, semasa kejadian, pemilik kedai, seorang warga emas berumur 65 tahun ditemani isterinya berusia 61 tahun, berada di dalam premis ketika kejadian berlaku.

“Sebaik selesai membuka premis mereka untuk memulakan perniagaan, seorang pelanggan masuk ke premis bertanyakan peralatan memancing yang terdiri dari satu rod dan satu mesin. Bagaimanapun, lelaki berkenaan keluar semula dengan alasan ingin bertanya abangnya yang menunggu di dalam kereta di luar kedai.

“Sepuluh minit kemudian, pelanggan itu masuk semula ke dalam kedai bersama seorang kawannya yang bersenjatakan parang. Mereka mengetuk monitor sebuah komputer sebelum mengacukan senjata ke arah pasangan suami isteri itu sambil menyuruh mereka diam,” katanya pada Ahad.

Jelas beliau, seorang suspek kemudian naik ke atas rak dan mengambil pelbagai peralatan memancing serta wang tunai berjumlah RM10,000 di dalam laci dan sebuah telefon jenama Xiaomi, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM26,000.

Menurutnya lagi, suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta jenis Perodua Bezza yang diletakkan di luar premis ke arah Sungai Layar.

“Sebaik menerima laporan, polis berjaya mengesan kereta suspek di Sungai Layar. Kesemua suspek berjaya ditahan, dan peralatan memancing serta wang tunai yang dicuri ditemui semula.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan dalam proses untuk direman,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com