Wednesday, 4, December, 2024
Utama Umum Free The Seed taja pesawah Kedah ke konvensyen UNFCCC di Azerbaijan

Free The Seed taja pesawah Kedah ke konvensyen UNFCCC di Azerbaijan

oleh admin
Berkat kesungguhan sebuah syarikat bioteknologi tempatan, Free The Seed Sdn. Bhd., dua pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan bakal menerima pengalaman berharga apabila diberi peluang mengikuti Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Baku, Azerbaijan bermula 17 hingga 20 November depan.

GURUN – Berkat kesungguhan sebuah syarikat bioteknologi tempatan, Free The Seed Sdn. Bhd., dua pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan bakal menerima pengalaman berharga apabila diberi peluang mengikuti Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Baku, Azerbaijan bermula 17 hingga 20 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Free The Seed, P. Ramaness berkata, langkah untuk menaja sepenuhnya kehadiran dua pesawah itu ke konvensyen berkenaan, merupakan satu bentuk penghargaan kepada golongan tersebut, yang dianggap memainkan peranan amat penting untuk memelihara kelestarian alam.

CEO Free The Seed, P. Ramanes (dua dari kiri) bersama Abdullah Mohamad (dua dari kanan) dan Keria Saad (kanan) yang akan berangkat ke Azerbaijan bagi menyertai UNFCCC pada 17 hingga 20 November depan.

Katanya, dua pesawah tersebut iaitu Abdullah Mohamad, 58, dan Keria Saad, 60, bakal berpeluang melihat sendiri inovasi serta usaha dijalankan di seluruh dunia yang akan dipamerkan dalam konvensyen berkenaan.

“Konvensyen itu sememangnya menjadi tumpuan dunia dengan penglibatan lebih 150 negara membabitkan pelbagai pihak antaranya ketua-ketua kerajaan, pemimpin industri, aktivis alam sekitar serta masyarakat pribumi.

“Acara itu akan mendapat liputan daripada media seluruh dunia dan dianggarkan pengunjungnya mencecah antara 80,000 hingga 100,000 orang. Pada tahun lalu di Dubai, kehadiran pengunjung ke konvensyen itu adalah seramai 85,000 orang.

“Di situ, pelbagai pameran akan diadakan dengan kalangan pengunjung turut berpeluang mengikuti syarahan daripada pakar-pakar seluruh dunia. Maka inilah peluang buat kedua-dua pesawah tersebut, mendapatkan idea serta ilmu baharu bagi dikongsikan bersama rakan-rakan lain apabila pulang ke tanah air nanti,” katanya dalam sidang akhbar kilang syarikat tersebut dekat sini, hari ini.

Mengulas peluang yang diberikan kepada dua pesawah itu, Ramaness berkata, sebelum ini pihak penganjur ada menghubunginya untuk menawarkan tiga slot bagi berkongsi pengetahuan serta pengalamannya dalam konvensyen berkenaan, berkaitan isu iklim, kitaran ekonomi serta subjek berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Katanya, beliau sebelum ini sudah lebih lima kali diberi peluang untuk berbuat demikian dan sentiasa mengimpikan untuk membawa golongan petani negara ini ke konvensyen tersebut, kerana menganggap mereka sebagai ‘barisan hadapan’ yang memainkan peranan besar dalam menjaga kelestarian alam.

“Penyertaan mereka amat penting kerana bidang agrikultur merupakan antara penyumbang terbesar kepada pemanasan global berikutan pengurusan sisa secara tidak teratur yang sering tidak diberi penekanan termasuk melalui pembakaran terbuka.

“Mengenangkan perkara itu, saya telah memohon kepada penganjur untuk membenarkan sekurang-kurangnya dua pesawah Malaysia ke sana. Permintaan itu kemudiannya diluluskan dan kami tidak berfikir panjang untuk menaja sepenuhnya perbelanjaan Abdullah serta Keria ke sana,” katanya.

Sementara itu Abdullah yang juga Pengerusi PPK Pendang Selatan berkata, peluang itu hadir tanpa diduga dengan dirinya amat teruja untuk menyertai konvensyen tersebut.

Katanya, ketika ini dia tidak sabar untuk mendalami ilmu baharu di konvensyen tersebut setelah beberapa tahun PPK Pendang Selatan menjalin kerjasama dengan Free The Seed dalam membekalkan jerami bagi menghasilkan produk terbiodegrasi antaranya pembungkus makanan.

“Ketika ini kami memang menjalin kerjasama yang membawa manfaat besar kepada bidang pertanian dan alam sekitar. Jika dulu jerami padi dibakar secara terbuka selepas musim menuai, kini kami menjualnya kepada Free The Seed sejak 2018.

“Langkah itu tidak hanya menambah pendapatan petani malah turut membawa kesan positif terhadap alam sekitar. Setelah agak lama terlibat dalam usaha ini, kami teruja untuk mengetahui insiatif-inisiatif lain yang dilakukan di negara-negara lain bagi tujuan sama dan perkara itu mungkin dapat dikongsi serta dipraktikkan bersama rakan-rakan pesawah lain di sini nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com