Friday, 27, December, 2024
Utama Nasional 189,580 peminjam PTPTN tidak pernah bayar balik adalah penerima STR

189,580 peminjam PTPTN tidak pernah bayar balik adalah penerima STR

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Sejumlah 189,580 orang atau 45.7 peratus peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang belum membuat pembayaran balik adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, jumlah ini adalah daripada keseluruhan 415,109 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik sehingga 31 Ogos 2024.

Sebaliknya, 225,529 atau 54.3 peratus peminjam yang belum membuat pembayaran balik bukan penerima bantuan STR.

“PTPTN pada masa ini hanya memegang data yang dikumpul semasa permohonan, ketika peminjam biasanya tidak mempunyai pendapatan,” kata Zambry dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai jumlah peminjam PTPTN yang telah bekerja dengan gaji melebihi RM3,000 tetapi tidak pernah membuat sebarang pembayaran balik.

Pada September lalu, media melaporkan PTPTN akan mengambil tindakan terhadap 430,000 peminjam yang tidak pernah membayar hutang membabitkan sebanyak RM6 bilion.

Zambry berkata sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN kini berada di tahap membimbangkan.

Menurutnya, sebahagian daripada peminjam itu didapati sudah bergraduasi sejak berpuluh tahun lalu dengan ada diantaranya gagal membuat pembayaran walau satu sen pun.

“Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang. Mereka tak peduli langsung untuk bayar.

“Kita sudah pun membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kabinet untuk langkah seterusnya.

“Saya tidak menafikan langkah susulan yang akan diambil terhadap mereka ini termasuk tindakan undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com