SHAH ALAM– Status kes serangan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim, masih menjadi tanda tanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk mendedahkan perkembangan terkini serta mengenal pasti dalang di sebalik kes tersebut.
Exco Pembangunan Sukan Selangor, Najwan Halimi, menyatakan bahawa kes ini sudah enam bulan berlalu namun masih tiada perkembangan yang jelas.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, telah menghantar surat kepada polis untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Sehingga hari ini, kita masih belum mengetahui status kes Faisal. Kali terakhir kita dimaklumkan bahawa Speaker telah menulis surat kepada polis memaklumkan usul yang dipersetujui Dewan Negeri Selangor,” kata Najwan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang DUN Selangor Ke-15.
Najwan menjawab soalan tambahan dari Mohd. Shafie Ngah (PN – Sungai Ramal) mengenai status terkini siasatan pihak berkuasa terhadap Faisal Halim, yang juga pemain kebangsaan.
Pada Julai lalu, DUN Selangor membuat usul tergempar mengecam tindakan ekstrem dan keganasan terhadap Faisal selepas ia dipersetujui oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Usul tersebut dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pada 5 Mei lalu, media melaporkan Faisal mengalami lecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.