Thursday, 2, May, 2024
Utama Sukan Liga Super : Kedah akan berjuang hingga perlawanan terakhir

Liga Super : Kedah akan berjuang hingga perlawanan terakhir

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC akan terus memburu kemenangan pada baki tiga perlawanan Liga Super 2023 dalam usaha merebut kedudukan kedua terbaik daripada Selangor FC.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, sebarang keciciran bakal menyaksikan hasrat Sang Kenari untuk mara secara automatik ke pentas Asia bakal terkubur.

Menurutnya, kejayaan menewaskan Negeri Sembilan FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu disifatkan sebagai kejayaan penting.

“Kita akan berjuang sehingga perlawanan terakhir. Bagi perlawanan ini selepas tiga minggu tidak beraksi agak sukar untuk mendapatkan rentak seperti biasa namun persembahan pemain secara keseluruhan adalah baik.

“Pada saat begini 1-0 pun dah cukup kerana perlu dapatkan tiga mata sahaja. saya terima kasih kepada pemain walaupun di saat timbulnya masalah namun pemain masih lagi memberikan komitmen pada perlawanan, pada setiap latihan juga semua pemain tetap ada. mereka tetap berikan komitmen penuh,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nafuzi juga berterima kasih kepada semua pemainnya yang tetap memberikan aksi terbaik biarpun berdepan dengan isu gaji.

“Terima kasih kepada pemain kerana menang perlawanan ini dan menghadiahkan tiga mata istimewa sempena hari jadi saya. Kemenangan ini begitu makna. 

“Saya rasa kita berpeluang dengan baki tiga perlawanan selepas ini kita akan bertemu Kelantan di away, Selangor di laman sendiri dan terakhir Sabah di laman lawan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com