Thursday, 5, December, 2024
Utama Negeri Anak Muda Madani ringankan beban mangsa banjir

Anak Muda Madani ringankan beban mangsa banjir

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Prihatin dengan musibah banjir yang melanda beberapa daerah di Kedah, Persatuan Anak Muda Madani mengambil inisiatif untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan dengan banjir tersebut.

Pengerusinya, Datuk Zuraidi Rahim, berkata pasukan mereka terpaksa meredah air setinggi kira-kira satu meter bagi menyampaikan bantuan barangan dapur kepada mangsa banjir yang tidak berpindah tetapi rumah mereka dinaiki air sehingga terputus hubungan.

Menurutnya, program ini juga bertujuan mendidik generasi muda supaya simpati dan membantu insan yang menerima musibah seperti banjir.

“Kami sangat simpati dengan musibah banjir yang melanda penduduk di daerah ini. Ramai terpaksa berpindah atau menyelamatkan peralatan ke tempat yang lebih selamat,” katanya semasa menyampaikan bantuan kepada 100 buah keluarga di Kampung Alor Sejaya, Kampung Titi Gajah, Pantai Johor, dan Suka Menanti, di sini pada petang Jumaat.

Jelas Zuraidi, walaupun sumbangan tersebut tidak seberapa, namun ia cukup untuk beberapa hari bagi menampung keperluan keluarga mereka.

Tambahnya, sumbangan itu diharapkan memberi semangat kepada mangsa banjir supaya tidak kecewa dengan bencana yang menimpa.

“Saya sangat gembira dengan semangat anak muda Madani ini. Ada yang sanggup basah kuyup meredah air untuk menyampaikan sumbangan ini kepada mangsa banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar bencana ini tidak mengorbankan sebarang nyawa dan berharap air akan cepat surut.

Sumbangan akan diteruskan beberapa hari lagi ke daerah Pokok Sena, Padang Terap, Kubang Pasu, dan Sik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com