Thursday, 5, December, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah MAQIS rampas 16,904 kg cili tanpa perakuan sah

MAQIS rampas 16,904 kg cili tanpa perakuan sah

oleh Ammar Haziq

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk sebanyak 16,904 kilogram (kg) cili di Pintu Masuk Bukit Kayu Hitam pada Sabtu lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Hisham bin Abu Bakar, menyatakan bahawa pemeriksaan teliti oleh pasukan penguatkuasa mendapati cili bernilai anggaran RM50,712 tersebut diimport tanpa Perakuan 3P, sebagaimana diwajibkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurutnya, pelanggaran ini melibatkan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), dan semua barangan telah dirampas untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta 728, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga enam tahun, denda tidak melebihi RM100,000, atau kedua-duanya bagi kesalahan yang disabitkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah tegas ini penting untuk memastikan barangan pertanian yang diimport seperti tumbuhan, karkas, ikan, dan hasil tani bebas daripada ancaman perosak, penyakit, atau bahan cemar yang boleh menjejaskan keselamatan makanan dan industri pertanian negara.

“Kerjasama antara agensi penguatkuasaan adalah kunci dalam memastikan kepatuhan kepada syarat serta peraturan sedia ada, demi melindungi keselamatan, kesihatan, dan kelestarian sektor pertanian kita,” ujarnya lagi.

MAQIS terus komited dalam melaksanakan penguatkuasaan berterusan untuk menangani kemasukan barangan pertanian haram yang bukan sahaja berisiko kepada ekosistem, malah boleh mengancam kesejahteraan masyarakat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com