BALING – Seramai 1,600 pelajar dari keluarga miskin dari lapan negeri menerima set kelengkapan sekolah baru sempena program ‘Kembali Ke Sekolah 2025’.
Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah, berkata setiap pelajar yang terpilih menerima dua set uniform sekolah, beg sekolah, sejadah, dan dua pasang kasut beserta stokin.
“Program ini diwujudkan untuk meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka.
“Melalui program ini, sebanyak lapan siri penjelajahan diadakan, dengan Kedah sebagai lokasi ketiga selepas Selangor dan Pahang. Program ini akan diteruskan ke Perak, Johor, Kelantan, Sarawak, dan Sabah, melibatkan 1,600 pelajar secara keseluruhan,” katanya pada Sabtu.
Zawahir berkata demikian selepas menyerahkan set kelengkapan tersebut kepada 200 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Siong dan anak-anak asnaf dari sekitar kawasan Baling.
Menurutnya, program yang dianjurkan bersama Etiqa Takaful ini memberikan fokus kepada pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan.
Dalam perkembangan sama, mereka turut berkunjung ke Surau Desa KEDA, membantu komuniti setempat melalui program ‘Bekalan Air Bersih 2024’.
Etiqa Takaful, sebagai rakan kemanusiaan IAM, membiayai sumbangan berbentuk set penapis air luar khas untuk komuniti di Kedah di bawah projek ini.
Sebanyak 20 unit penapis air akan diserahkan kepada pusat-pusat tahfiz dan madrasah, sekolah, surau, masjid, dan rumah kebajikan yang terpilih untuk menyediakan bekalan air bersih bagi kegunaan harian.