ALOR SETAR – Tersentuh hati dengan penderitaan penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Jitra di Kubang Pasu, pada akhir bulan lalu, Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menghulurkan bantuan pasca banjir dalam bentuk pek makanan keperluan harian bernilai lebih RM20,000.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman, berkata bantuan tersebut termasuk barangan makanan seperti beras, tepung gandum, gula, dan lain-lain, yang diserahkan kepada 300 orang penerima yang terjejas akibat banjir di kawasan Jitra dan Kubang Pasu.
“BDB sentiasa bersedia untuk membantu meringankan beban mereka yang terjejas, yang mengalami kesan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental akibat kehilangan dan kerosakan harta benda.
“Sumbangan ini merupakan antara inisiatif BDB dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir yang sehingga hari ini sedang berusaha keras untuk kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum bencana banjir,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Pasca Banjir Kumpulan BDB yang berlangsung di Masjid Sharifah Fatimah, Jitra.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah; Ketua Pegawai Operasi BDB, Mohd Sobri Hussein; dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapt. (PA) Mohd Adenin Suhaimi.
Untuk rekod, majlis tersebut turut melibatkan kerjasama antara BDB, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Jitra, dan Masjid Sharifah Fatimah.
Raja Shahreen turut menambah bahawa sebagai syarikat berkaitan kerajaan, BDB akan terus bersama-sama membantu kerajaan negeri dan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan, terutamanya dalam menghadapi bencana alam seperti banjir.
“Oleh itu, ia mewujudkan situasi menang-menang di mana BDB bukan sahaja memberikan bantuan kepada masyarakat setempat tetapi turut menyahut seruan Dr. Haim Hilman Abdullah untuk bersama-sama Kerajaan Negeri Kedah menyantuni rakyat di bawah.
“Inisiatif seperti ini tidak akan terhenti di sini sahaja, di mana syarikat akan terus membantu dengan merangka pelbagai program tanggungjawab sosial korporat. BDB komited dalam usaha untuk memastikan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan serta Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus terus dipacu pada masa hadapan,” ujar beliau.