Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Kereta meletup dan terbakar, tiga beranak melecur

Kereta meletup dan terbakar, tiga beranak melecur

oleh Ammar Haziq
Peratusan kebakaran kereta Proton Wira terbabit dianggarkan 60 peratus.

ALOR SETAR – Tiga beranak didapati melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar  berhampiran sebuah kedai di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, dekat sini pada hari ini.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan kebakaran kenderaan jenis Proton Wira di lokasi kejadian pada jam 12.31 tengah hari.


Menurutnya, semua mangsa berusia antara lima tahun hingga 54 tahun.


“PGO kemudian mengarahkan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar keluar ke lokasi kejadian yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi  melaporkan kebakaran itu membabitkan sebuah kereta terbakar pada bahagian dalam yang membabitkan tiga mangsa,” katanya.


Jelas beliau, pemandu kereta itu melecur 80 peratus dan isterinya melecur 30 peratus manakala anak mereka melecur hampir 95 peratus.


Menurutnya, bomba yang tiba di lokasi telah memastikan api yang berada di kenderaan itu dipadamkan sepenuhnya. 


“Hasil maklumat yang diperolehi, kebakaran dipadamkan oleh orang awam sertapemilik kedai menggunakan alat pemadam api,” katanya lagi.


Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga mangsa terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

“Peratusan kebakaran kereta Proton Wira terbabit dianggarkan 60 peratus.

“Operasi tamat pada 1.35 petang dan punca kebakaran itu berlaku dalam siasatan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com