ALOR SETAR – “Bola sepak merupakan sukan nombor satu di negeri ini dan kami berharap pengurusan KDA FC (Kedah Darul Aman FC) dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah kewangan yang menghimpit kelab itu,” kata Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda), Nor Hasmadi Hamzah.
Menurutnya, para penyokong Sang Kenari berharap Sang Kenari tidak akan terkubur disebabkan oleh dakwaan bahawa pemain KDA FC tidak menerima gaji selama sembilan bulan.
“Kami percaya pihak pengurusan sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini. Namun, jika akhirnya masih tidak mampu menyelesaikannya, sudah tiba masanya untuk menjual kelab kepada pihak yang berminat,” ujarnya.
Kepda juga berharap Kerajaan Negeri Kedah dapat campur tangan untuk membantu KDA FC yang kini berhadapan dengan masalah kewangan yang serius.
Dakwaan bahawa pemain KDA FC tidak menerima gaji selama sembilan bulan telah menimbulkan kebimbangan, dengan ramai yang risau keadaan ini akan memberikan kesan buruk kepada kelab pada masa akan datang jika dibiarkan berlarutan.
Kepda juga menyuarakan harapan agar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu kelab tersebut.
“Kami memohon campur tangan MB Kedah dan Exco Belia Sukan, Muhammad Radhi Mat Din, untuk melakukan sesuatu. Tidak boleh biarkan masalah ini berlarutan kerana pemain juga perlu menyara keluarga mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau mengulas laporan pada Ahad yang mendakwa pemain KDA FC tidak menerima gaji selama sembilan bulan walaupun beberapa hari lagi tahun 2024 akan berakhir.
Mas Hamizah Izhar, isteri kepada pemain KDA FC, Muhammad Irfan Zakaria, mendakwa di media sosial bahawa suaminya tidak menerima gaji selama sembilan bulan dan mencadangkan kelab tersebut ditutup jika kewangan tidak mencukupi.
Nor Hasmadi juga menyatakan kebimbangannya bahawa jika masalah ini berterusan, pasukan kesayangan rakyat Kedah mungkin akan hilang dari radar Liga Super pada musim hadapan.