Thursday, 2, May, 2024
Utama Sukan PM tiup semangat Harimau Malaya harungi Piala Asia 2023

PM tiup semangat Harimau Malaya harungi Piala Asia 2023

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon yang bakal mengharungi cabaran getir Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari ini.

Menerusi hantaran video di laman Facebook malam ini, beliau menyifatkan para pemain yang berjaya menamatkan penantian 42 tahun Malaysia untuk layak secara merit ke Piala Asia dan bakal menggalas cabaran negara di Doha sebagai pejuang.

“Ini pejuang hebat, pasukan Harimau Malaya, bertarung, sabar, kukuh semangat, istiqamah, 42 tahun kita menanti dan sekarang saudara-saudara bangkit sebagai pejuang dan bertarung.

Kami doakan insya-ALLAH akan mencapai sukses.

“Sekali lagi diucapkan selamat maju jaya, selamat berjuang kepada pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Jan (1.30 pagi 16 Jan waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Jan) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Sebagai aksi pemanas badan, anak buah Pan Gon yang tiba di Doha seawal 1 Jan lepas dijadual bertemu Syira pada perlawanan persahabatan antarabangsa pada 8 Jan ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com